Keputusan baik Perdana Menteri

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SELEPAS pengumuman pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 pada 16 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi telah mengumumkan berita baik untuk rakyat.

Pada 5 April, kerajaan telah mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah.

Kerajaan juga bersetuju memberi bantuan khas RM250 kepada pesara kerajaan. Pembayaran bagi bantuan khas itu akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji bulan April iaitu pada 25 April ini.

Keputusan itu dilihat salah satu usaha kerajaan menghargai jasa dan khidmat penjawat awam serta pesara kerajaan.

Berita baik itu pastinya memberi nafas lega khususnya bagi membantu meringankan beban persiapan Aidilfitri untuk keluarga berpendapatan rendah.

Aidilfitri kali ini dijangka lebih meriah kerana sudah dua tahun berturut-turut anak perantau tidak dapat beraya di kampung.

Pemberian bantuan khas tersebut selari dengan niat kerajaan membantu rakyat menerusi pengeluaran khas KWSP yang amat diperlukan pencarum untuk membayar hutang pinjaman.

Berdasarkan tinjauan Sinar Harian terhadap 10 pencarum, rata-rata mengakui perlu membayar tunggakan pinjaman bank, hutang pinjaman daripada rakan dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Pada ketika ini, kehidupan rakyat memang berada dalam keadaan yang sukar. Ini kerana kesan daripada pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sejak dua tahun lalu.

Peperangan antara Rusia dan Ukraine juga memberi kesan kepada kita semua apabila harga minyak dunia meningkat dan harga barang juga melambung tinggi.

Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan, Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Februari lalu meningkat 2.2 peratus.

Rakyat mengeluh apabila mereka terpaksa membeli barang pada harga yang tinggi. Segala-galanya naik pada ketika ini. Yang turun hanyalah air hujan sahaja.

Perkara yang paling menyedihkan kita pada ketika ini ialah tentang kehidupan rakyat yang hidup miskin. Harap nasib mereka terus dibela.