Cabaran melawan 'raksasa berkepala tiga' dalam memoir Di Sebalik Nama

Nazir bersama Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub (kanan) menunjukkan memoir ‘Di Sebalik Nama’ terbitan Alaf 21. Foto: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Nazir bersama Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub (kanan) menunjukkan memoir ‘Di Sebalik Nama’ terbitan Alaf 21. Foto: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Cabaran utama negara dalam menentang ‘raksasa berkepala tiga’ merupakan antara perkongsian menarik bekas Pengerusi Kumpulan CIMB, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Razak dalam memoir ‘Di Sebalik Nama’ yang akan dilancarkan pada 18 April ini.

Buku terbitan Alaf 21 Sdn Bhd setebal 464 muka surat itu adalah terjemahan daripada memoir ‘What’s In a Name’ yang mendapat sambutan hangat sejak berada di pasaran pada November lalu.

Mengulas mengenai kandungan memoir itu, Nazir yang juga Pengasas Bersama dan Pengerusi Ikhlas Capital berkata, buku tersebut adalah gabungan tiga dalam satu yang mana ia menceritakan tentang legasi bapanya, Tun Abdul Razak Hussein yang juga Perdana Menteri kedua, kerjayanya di CIMB serta buah fikirannya tentang masa depan negara.

“Saya turut berkongsi tentang ketidakstabilan yang berlaku berpunca daripada masalah politik wang, politik identiti dan pemusatan kuasa melampau atau raksasa berkepala tiga. Saya juga cerita bagaimana kita nak lawan raksaksa ini dengan membuat demokrasi musyawarah.

“Selain itu, semasa saya bekerja di CIMB, saya dapat lihat banyak legasi yang ditinggalkan bapa saya. Tun Abdul Razak mempunyai dua legasi iaitu tersurat merangkumi polisi-polisi dan institusi yang dibina, manakala yang tersirat adalah daripada segi cara dan nilainya.

Nazir berkongsi tentang memoirnya, 'Di Sebalik Nama'. Foto: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Nazir berkongsi tentang memoirnya, 'Di Sebalik Nama'. Foto: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

“Sepanjang kerjaya saya juga, saya dapat lihat bagaimana perbezaan konflik antara dua legasi iaitu antara bapa saya, Tun Abdul Razak dan abang saya, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya dalam Wawancara Eksklusif bersama Sinar Harian pada Khamis.

Dalam memoir itu, Nazir turut menceritakan mengenai kehidupannya yang membesar sebagai anak Tun Abdul Razak dan kemeriahan kediaman mereka di Sri Taman, Kuala Lumpur apabila didatangi pelbagai peringkat masyarakat termasuk pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II dan legenda tinju dunia, Muhammad Ali.

Artikel Berkaitan:

Memoirnya turut menyentuh mengenai episod 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan episod ketegangan antara beliau dan Najib.

“Saya dan adik-beradik sebenarnya agak sedih kerana Allahyarham Tun Abdul Razak tidak mempunyai masa untuk menulis memoirnya. Sudah lama saya fikir dan apabila mempunyai peluang, saya menulis buku ini bermula pada tahun 2018.

Nazir. Foto: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Nazir. Foto: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

“Saya harap buku ini dibaca oleh semua orang dan orang ramai dapat belajar sesuatu daripada pengalaman saya. Apa yang saya buat dan perspektif saya dalam sejarah negara,” jelas beliau.

Memoir ‘Di Sebalik Nama’ akan dicetak sebanyak 3,000 naskhah bagi cetakan pertama dan boleh didapati di https://www.karangkrafmall.com atau di kedai-kedai buku selepas pelancarannya pada 18 April nanti.