Raja Arshad dilantik Pengerusi Kumpulan PNB

Raja Arshad
Raja Arshad
A
A
A

SHAH ALAM - Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pelantikan Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda sebagai pengerusi kumpulan itu berkuat kuasa 1 Jun 2023.

Pelantikan Raja Arshad yang juga Pengerusi Ekuiti Nasional Berhad, Icon Offshore Berhad dan Bumi Armada Berhad bagi menggantikan Tun Ariffin Zakaria yang telah tamat tempoh perkhidmatannya.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, kepimpinan bekas pengarah Maxis Berhad dan Khazanah Nasional Berhad itu sangat dinantikan.

"Lembaga Pengarah dan warga PNB berbesar hati mengalu-alukan Raja Tan Sri Sri Arshad ke Lembaga Pengarah PNB, membawa bersama-sama pengalaman luas beliau dalam pengawasan syarikat dan institusi.

"Kami menantikan kepimpinan beliau seiring pelaksanaan pelan strategik PNB dan memenuhi mandat kami dalam meningkatkan kekayaan ekonomi masyarakat bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Raja Arshad juga merupakan bekas Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia dan Pengerusi Pasukan Kepimpinan PwC Asia 7.

Semasa krisis kewangan Asia 1997, beliau turut dilantik sebagai Pengerusi Danamodal Nasional Berhad, salah satu daripada tiga syarikat bertujuan khas yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menguruskan krisis.

Di peringkat antarabangsa pula, beliau pernah menganggotai Standards Advisory Council kepada International Accounting Standards Board dan ahli Lembaga Global International Financial Reporting Standards (IFRS) PwC.

Tokoh korporat terkenal itu turut terlibat secara aktif dengan beberapa institusi kebajikan.

Raja Arshad juga mempengerusikan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Raja Muda Selangor dan Yayasan Amir.