Sila log masuk terlebih dahulu.

Sistem permohonan pengambilan pekerja asing perlu telus: Papsma

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Sukumaran)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Sukumaran)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma) menyokong usaha kerajaan memperkenalkan sistem permohonan pengambilan pekerja asing dan pembantu rumah Indonesia secara digital melalui perjanjian persefahaman (MoU) dengan Indonesia baru-baru ini.

Sehubungan itu, Setiausaha Agungnya, Dr N Sukumaran menegaskan pertubuhan itu mengalu-alukan MoU di antara kerajaan Malaysia dan Indonesia yang dimeterai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden negara republik itu, Joko Widodo pada 1 April lalu.

Jelas beliau, pengenalan saluran permohonan digital ke atas pekerja asing dan pembantu rumah Indonesia kepada majikan-majikan di negara ini adalah bagi memastikan kebajikan dan keselamatan setiap mereka khususnya dalam bidang pembantu rumah.

"Kami mahu sistem yang telus yang boleh memastikan kerja-kerja merekrut pembantu rumah melalui kerjasama perniagaan dua hala (business to busines).

"Majikan di Malaysia mempunyai hak untuk mengetahui proses, pembayaran, jaminan dan penggantian apabila kos pengambilan pekerja asing sudah semakin tinggi dalam sistem pengambilan pekerja asing yang baharu ini.

"Papsma menyambut baik sistem pengambilan pekerja asing yang melibatkan pengambilan, rekrut, jaminan, mengesan pekerja, pergerakan, pembaharuan, kemasukan semula dan penghantaran pulang ke negara asal," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada 1 April lalu, Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk melaksanakan sistem saluran tunggal (One Channel System) bagi memastikan hanya majikan yang layak dapat menggajikan perkhidmatan domestik Indonesia (PDI) atau pembantu rumah warganegara itu.

Ismail Sabri berkata, perkara itu antara yang termaktub di dalam MoU tersebut sebagai usaha untuk memberikan perlindungan kepada golongan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, Malaysia juga akan melaksanakan beberapa inisiatif lain bagi menjaga kebajikan pekerja domestik daripada sudut perlindungan sosial, sesuai dengan ratifikasi Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang telah ditandatangani sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Sukumaran menegaskan Papsma turut mengucapkan terima kasih kepada inisiatif kerajaan dalam memastikan lesen ejen pengambilan pekerja asing yang melibatkan kedua-dua buah negara terjamin.

Ujar beliau, Papsma akan memastikan ahli-ahlinya akan akur dengan prosedur yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan semua bahagian bagi memastikan majikan di Malaysia mendapatkan perkhidmatan yang baik dalam mendapatkan pembantu rumah Indonesia.

"Walaupun ramai majikan di Malaysia yang telah mengalami pengalaman buruk mengenai pembantu rumah Indonesia, kami mahu proses yang lebih licin yang akan digunakan.

"Kami akan menunggu perbincangan dengan Kementerian Sumber Manusia khususnya Jabatan Tenaga Kerja untuk memulakan proses merekrut pekerja asing sementara kami menyediakan perkhidmatan pekerja asing dengan prosedur yang lengkap.

"Majikan terpaksa menunggu sehingga Jun atau Julai untuk kemasukan pekerja asing Indonesia dan kita mahu perkara itu diselesaikan dengan lebih baik," tegasnya lagi.