Rokok seludup: Wawasanex gesa tindakan sampai ke akar umbi

KUALA LUMPUR – Walaupun Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas rokok seludup bernilai RM476.3 juta dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, produk haram itu masih menguasai 56 peratus pasaran rokok negara.
Situasi itu menunjukkan usaha membanteras penyeludupan rokok memerlukan pendekatan lebih menyeluruh, termasuk memutuskan rantaian bekalan, memperketat kawalan penjualan serta meningkatkan pematuhan premis perniagaan.
Justerru, syarikat pemula dasar awam, Wawasanex menggesa pendekatan menyeluruh dan bersepadu bagi menangani perdagangan haram ini, daripada peringkat sumber bekalan hingga ke tempat jualan, ekoran rampasan berkenaan membabitkan 2,333 kes penyeludupan rokok antara Januari hingga Ogos 2026
Pengasas Bersama dan Pengarah Analitik Kreatif Wawasanex, Dini Nurhani berkata, Kajian Rokok Seludup terbaharu oleh NielsenIQ menganggarkan produk berkenaan merangkumi 56 peratus daripada keseluruhan penggunaan rokok setakat Julai lalu.
Menurutnya, angka itu hampir tidak berubah berbanding 56.2 peratus pada Mei dan lebih tinggi daripada 54 peratus yang direkodkan pada penghujung 2025.
"Rampasan memang berlaku, pegawai penguat kuasa juga aktif menjalankan tugas dan usaha mereka wajar diberikan pengiktirafan. Namun, keadaan pasaran menunjukkan bekalan yang dirampas digantikan semula dengan begitu pantas.
"Apabila lebih separuh daripada rokok yang dihisap di negara ini masih merupakan rokok seludup, langkah seterusnya perlu memberi tumpuan kepada usaha menyukarkan pengguna mendapatkannya, bukan sekadar meningkatkan jumlah rampasan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, tinjauan seluruh negara yang dijalankan Wawasanex pada Mei lalu turut mendapati 99 peratus responden menyatakan rokok seludup mudah atau sangat mudah diperoleh.
"Malah, 68.8 peratus responden mengenal pasti warga asing sebagai penjual produk berkenaan," katanya.
Dini berkata, dapatan itu menunjukkan keperluan menangani perdagangan rokok seludup secara menyeluruh, daripada rantaian bekalan dan rangkaian pengedaran hingga ke premis perniagaan yang menjadi saluran terakhir kepada pengguna.
Katanya, JKDM sebelum ini turut melaporkan kes membabitkan pekerja migran yang digunakan untuk menjual rokok tidak bercukai di premis perniagaan.
Dalam perkembangan berkaitan, tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan terhadap premis yang gagal mematuhi syarat pelesenan turut dipertingkatkan.
Di Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memeriksa 263 premis tahun ini, dengan 148 daripadanya diarahkan menghentikan operasi, manakala 255 kompaun dikeluarkan.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pula mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 101 premis menerusi Ops Tegas.
Sementara itu, di Kuala Selangor, operasi bersepadu melibatkan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), JKDM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyebabkan tiga premis dikendalikan warga asing di Bandar Puncak Alam diarahkan tutup.
Sebanyak 18 kompaun turut dikeluarkan atas kesalahan pelesenan, manakala pihak Kastam merampas rokok yang disyaki diseludup.
Menurut Dini, tindakan bersepadu itu menunjukkan kepentingan kerjasama antara agensi penguatkuasaan dan pihak berkuasa tempatan bagi membendung kegiatan berkenaan.
Beliau berkata, pemeriksaan perlu diteruskan secara konsisten, termasuk tindakan terhadap premis yang beroperasi tanpa mematuhi syarat pelesenan.
"Operasi berkenaan mencerminkan usaha lebih menyeluruh kerajaan dalam menangani perniagaan haram yang dikendalikan warga asing," katanya.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini telah menggesa tindakan penguatkuasaan di seluruh negara pada Jun 2026, manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, telah mengarahkan pihak berkuasa supaya membatalkan serta menyenaraihitamkan lesen perniagaan milik rakyat Malaysia yang menyewakan premis mereka kepada warga asing.
Dalam pada itu, Wawasanex berkata, peruntukan RM1.1 bilion di bawah Belanjawan 2027 bagi memperkukuh agensi penguatkuasaan perlu dimanfaatkan untuk meningkatkan kekerapan pemeriksaan dan memperketat tindakan terhadap premis yang menjual rokok seludup.
Menurutnya, usaha itu perlu dilaksanakan seiring tindakan melumpuhkan rangkaian bekalan di sebalik perdagangan haram berkenaan.
Wawasanex berpandangan, pendekatan sedia ada perlu diperkukuh menerusi kerjasama antara agensi, pemantauan di peringkat peruncitan, kesedaran pengguna serta langkah menangani faktor yang mendorong permintaan dan penawaran rokok seludup.
"Belanjawan 2027 telah menyediakan peruntukan untuk memperkukuh penguatkuasaan. Kini, persoalannya mudah.
"Setahun dari sekarang, adakah seorang perokok masih boleh mendapatkan rokok seludup di kedai berhampiran rumahnya? Itulah ukuran sebenar kejayaan usaha ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
