Serangan siber: Negara perlu pendekatan proaktif - Anwar

Anwar hadir mempengerusikan Forum Ilmuan Malaysia Madani (FIM) Siri Ke-14 Kementerian Pendidikan Tinggi bersama SD Guthrie di sebuah hotel hari ini. - Foto: Bernama
Anwar hadir mempengerusikan Forum Ilmuan Malaysia Madani (FIM) Siri Ke-14 Kementerian Pendidikan Tinggi bersama SD Guthrie di sebuah hotel hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan siber negara dengan memberi tumpuan kepada keupayaan menjangka dan mencegah serangan, susulan ancaman siber yang semakin kompleks serta canggih.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan proaktif perlu diutamakan berbanding tindakan reaktif, bagi memastikan negara bersedia menghadapi ancaman yang boleh menyasarkan pelbagai sektor, termasuk perbankan dan institusi penting.

"Kita mesti bina kekuatan untuk menjangka serangan. Jangan tunggu reaktif. Kita perlu bersedia untuk menjangkakannya terlebih dahulu,” kata Anwar yang juga moderator Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 14 di sini, malam ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Presiden Kumpulan SD Guthrie Berhad Mohd Haris Mohd Arshad dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Research Institute Dr Sarena Che Omar.

Anwar berkata, ancaman siber kini bukan lagi terhad kepada negara membangun, sebaliknya negara maju di Eropah yang memiliki infrastruktur keselamatan dan ekonomi serba canggih, turut berhadapan serangan yang serius.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, kerajaan telah mengadakan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), bagi meneliti kepakaran dan keupayaan sedia ada dalam menghadapi ancaman keselamatan siber.

Selain itu, taklimat terperinci turut diberikan kepada Ahli Parlimen, manakala Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar telah mengadakan pertemuan bersama dengan barisan ketua setiausaha kementerian, ketua pengarah dan pegawai kanan, bagi menyelaras persediaan menyeluruh menghadapi sebarang kemungkinan pencerobohan siber.

Anwar berkata, persediaan rapi amat mustahak, kerana bentuk serangan siber lazimnya hadir dalam pelbagai kaedah dan tidak semuanya dapat dikesan pada peringkat awal.

Mengulas mengenai forum berkenaan, Perdana Menteri berkata ia menjadi platform penting untuk menghimpunkan pandangan, kritikan dan cadangan daripada pelbagai pihak bagi membantu kerajaan menilai serta menambah baik dasar dan pelaksanaan program negara.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri berkata, forum bulanan itu memberi ruang terbuka kepada golongan akademik, penyelidik, pemain industri swasta dan jentera pentadbiran berkongsi perspektif secara telus, termasuk menyuarakan pandangan yang berbeza daripada ketetapan kerajaan.

"Forum ini kita adakan secara santai, tidak formal. Saya mendengar pandangan daripada rakan-rakan, kemudian kita rumuskan dan bawa perkara yang perlu ke Jemaah Menteri,” kata beliau.

Anwar berkata, pendekatan itu juga, membolehkan kerajaan mendapatkan perspektif berbeza daripada pakar dan pihak berkepentingan sebelum membuat keputusan, sekali gus memastikan dasar yang dirangka mengambil kira realiti serta cabaran sebenar di lapangan.

Beliau berkata, pandangan yang dikemukakan dalam forum berkenaan tidak seharusnya terhad kepada perbincangan akademik, namun perlu diterjemahkan kepada tindakan dan penambahbaikan dalam pentadbiran negara.

Perdana Menteri berkata, perbincangan secara terbuka juga penting, bagi mengenal pasti kelemahan dalam dasar sedia ada serta mencari penyelesaian yang lebih berkesan, demi kepentingan rakyat.

Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 14 kali ini, membincangkan isu daya tahan sektor pertanian dan keterjaminan makanan yang turut dilihat sebagai elemen penting keselamatan serta ketahanan ekonomi negara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!