Kerjasama syarikat perladangan, pekebun kecil sawit dibangkitkan di kabinet minggu depan - Anwar

Anwar (dua dari kiri) hadir mempengerusikan Forum Ilmuan Malaysia Madani (FIM) Siri Ke-14 Kementerian Pendidikan Tinggi bersama SD Guthrie di sebuah hotel hari ini. - Foto: Bernama
Anwar (dua dari kiri) hadir mempengerusikan Forum Ilmuan Malaysia Madani (FIM) Siri Ke-14 Kementerian Pendidikan Tinggi bersama SD Guthrie di sebuah hotel hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerjasama antara syarikat perladangan dengan pekebun kecil sawit bagi meningkatkan hasil dan pendapatan kedua-dua pihak akan dibangkitkan pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, cadangan khusus perlu dirangka bagi membolehkan syarikat perladangan membantu pekebun kecil meningkatkan produktiviti dan mutu hasil, sekali gus memperoleh pulangan lebih baik.

"Sektor perladangan memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara, namun jurang antara syarikat perladangan yang berjaya dengan pekebun kecil berpendapatan rendah masih perlu ditangani,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menjadi moderator Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri Ke-14 bertemakan "Daya Tahan Negara dalam Keterjaminan Makanan bagi Mendepani Ketidaktentuan Global” di sini malam ini.

Forum anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi bersama-sama SD Guthrie Bhd itu turut dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PNB Research Institute Dr Sarena Che Omar sebagai ahli panel.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau pernah menyarankan supaya syarikat perladangan bekerjasama dengan pekebun kecil ketika bertemu wakil sektor itu di Taiping, Perak kira-kira dua hingga tiga tahun lepas.

"Saya turut menyentuh masalah kekurangan modal, produktiviti rendah dan kelemahan sistem pemasaran yang sekian lama menjejaskan petani kecil serta nelayan,” kata beliau.

Sementara itu, Presiden dan CEO kumpulan SD Guthrie, Mohd Haris Mohd Arshad berkata, hasil minyak sawit pekebun kecil bebas adalah sekitar dua tan sehektar berbanding empat tan sehektar yang direkodkan syarikat itu.

"Pokok yang semakin tua serta kekurangan sokongan untuk pembajaan dan penanaman semula antara faktor yang menyumbang kepada jurang produktiviti itu.

Artikel Berkaitan:

"Satu model yang boleh dicontohi ialah kerjasama di Indonesia, dengan syarikat perladangan menanggung kos penanaman semula dan pekebun kecil kemudian menjual hasil sawit kepada syarikat berkenaan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!