Papsma syor kerajaan guna khidmat alternatif urus pekerja asing

Gambar kecil: Dr Sukumaran Nair
Gambar kecil: Dr Sukumaran Nair
A
A
A

SHAH ALAM - Inisiatif Kementerian Sumber Manusia (KSM) melancarkan pautan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) adalah baik, namun sistem berkenaan didakwa mengalami banyak gangguan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma), Dr Sukumaran Nair berkata, pihaknya mengesyorkan kerajaan menggunakan khidmat alternatif ditawarkan persatuan itu bagi memudahkan pemprosesan dan pengurusan pekerja asing ke Malaysia.

"Papsma yang mewakili majoriti agensi berlesen C akan menggesa Kementerian Sumber Manusia mencadangkan kepada majikan untuk menggunakan perkhidmatan kami kerana kami berlesen serta diberi kuasa untuk menjadi orang tengah dan fasilitator dalam pengambilan pekerja asing ke Malaysia.

"Jika Kementerian Sumber Manusia tidak menyokong perkhidmatan kami, maka ramai ahli kami mungkin menutup perniagaan mereka dan mungkin mengalami kerugian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Gesaan itu diketengahkan Papsma ekoran kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan bahawa lebih 200,000 permohonan pekerja asing daripada Bangladesh sudah diterima dan sedang diproses.

Malaysia dan Indonesia juga difahamkan sudah memeterai memorandum persefahaman (MoU) kemasukan Perkhidmatan Domestik Indonesia (PDI) membabitkan pembantu rumah pada 17 Mac lalu.

Untuk rekod, Papsma mempunyai 1,100 tenaga kerja berdaftar dan berlesen berbanding lebih 10,000 ejen haram yang beroperasi di seluruh negara.

Oleh demikian Sukumaran menggesa agar kerajaan menggunakan khidmat pertubuhan itu dalam usaha menangani ejen haram.

Artikel Berkaitan:

"Kami dilahirkan oleh Kementerian Sumber Manusia dan apabila kementerian tidak menyokong perkhidmatan kami, kami akan mengalami situasi yang sama dengan semua ejen haram lain yang tidak berlesen dan tidak dibenarkan menjalankan urusan pengambilan pekerja asing di negara ini," katanya lagi.

Sebelum ini, Papsma mendakwa pihak majikan mendakwa mereka tidak mempunyai maklumat mengenai cara pengoperasian Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).