X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Lelaki didenda RM5,000 pindah kambing tanpa kebenaran

Soma Sumdaram (kanan) kelihatan tenang selepas didenda akibat kesalahan memindahkan 25 ekor kambing tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang pengembala kambing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah memindahkan 25 ekor kambing tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

C Soma Sumdaram, 62, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut kertas pertuduhan, Soma Sumdaram didakwa memindahkan 25 ekor kambing jantan hidup dengan menggunakan sebuah lori tanpa mendapat kebenaran bertulis Pengarah Negeri atau mana-mana pihak berkuasa veterinar.

Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan hadapan sebuah kedai gunting rambut di Jalan Machang Bubok dalam daerah Seberang Perai Tengah, di sini kira-kira jam 5.40 petang pada 2 Mac lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Perintah 4(1)(a) Perintah Haiwan (Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut) 2003 yang dibaca bersama Subseksyen 36(1)(c)(i) Akta Binatang 1953 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 36(7) Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452) yang membawa hukuman denda maksimum RM15,000.

Sementara itu, Soma Sumdaram memohon maaf atas kesalahannya dan merayu supaya hukuman diringankan memandangkan ia adalah kesalahan pertama yang dilakukannya sepanjang terbabit dalam bidang penternakan lembu dan kambing sejak lebih 45 tahun lalu.

Bapa kepada empat orang anak itu juga merayu agar lori miliknya dapat dikembalikan semula berikutan ia adalah kenderaan yang digunakannya untuk mencari rezeki.

Mohd Harith kemudian menetapkan hukuman denda RM5,000 terhadap tertuduh dan memerintahkan hasil jualan ternakan sebanyak RM7,500 dilucut hak.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Negeri, Roziman Awang Tahrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!