Rafizi setuju Sinar Harian jadi hos

Rafizi Ramli - FOTO ROSLI TALIB
Rafizi Ramli - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli bersetuju jika Sinar Harian menjadi penganjur utama kepada program debat antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama beliau dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Persetujuan tersebut susulan kesediaan Anwar dan Najib menyahut cabaran berdebat isu kewajaran bailout syarikat perkhidmatan medan minyak bersepadu Malaysia, Sapura Energy Berhad, seperti dikemukakan Rafizi sebelum ini.

Rafizi berkata, pihaknya tiada masalah untuk menerima pelawaan Sinar Harian sebagai penganjur utama debat bersejarah itu andai dipersetujui semua pihak terlibat.

“Sudi sahaja (menyertai program debat khas Anwar-Najib sekiranya dianjurkan Sinar Harian).

“Lagi cepat lagi bagus,” jawab Rafizi kepada Sinar Harian pada Isnin.

Cabaran debat itu pada mulanya dilontarkan Rafizi terhadap Najib susulan kedua-dua pemimpin itu saling berbalas pandangan dan kritikan berhubung isu kewajaran bailout Sapura Energy menerusi media sosial.

Dalam pada itu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan membalas cabaran Ketua Pembangkang, Anwar dengan menyatakan kesediaan untuk berdebat.

Anwar sebelum itu berkata, beliau bersedia berdebat dengan Najib pada bila-bila masa.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, Sinar Harian selaku salah satu platform media tempatan paling laris di pasaran, menawarkan kesediaan menjadi penganjur bagi program debat yang paling ditunggu-tunggu semua pihak itu.

Terkenal dengan program wacana debat khas yang dipanggil ‘Berani Semuka’, Sinar Harian pernah menampilkan pertembungan idea tokoh-tokoh hebat tanah air.

Ini termasuk bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof dan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang berdebat mengenai isu penyelewengan aset Tabung Haji pada 14 Ogos 2020.

Program Berani Semuka menampilkan Mujahid (kiri) dan Azeez Rahim pada 14 Ogos 2020.
Program Berani Semuka menampilkan Mujahid (kiri) dan Azeez Rahim pada 14 Ogos 2020.

Selain itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berdebat dengan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berhubung pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 pada 13 Januari lalu.

Program ‘Berani Semuka’ menggunakan format diskusi ala pemilihan presiden Amerika Syarikat namun disesuaikan dengan budaya masyarakat Malaysia.

Ia memberi peluang kepada ahli politik dan tokoh masyarakat termasuk menteri-menteri untuk menjelaskan isu berbangkit kepada rakyat dalam suasana harmoni.