Najib setuju berdebat dengan Anwar

Najib bersetuju untuk berdebat bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu kewangan Sapura Energy Berhad.
Najib bersetuju untuk berdebat bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu kewangan Sapura Energy Berhad.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju untuk berdebat bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu kewangan Sapura Energy Berhad.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pasukan Anwar dan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli boleh mengaturkan bersama pihak media yang berhasrat mahu mengadakan siaran langsung mengenai perkara terbabit.

“Sila berhubung dengan pembantu saya untuk cari tarikh terdekat yang sesuai bagi semua,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Najib sebelum ini dilaporkan berkata bahawa beliau bersedia untuk menerima cabaran debat daripada Rafizi, namun Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu perlulah memanggil Anwar untuk berdebat sama.

Anwar kemudian dalam satu kenyataan menyahut seruan debat daripada Najib dan menyatakan bahawa beliau bersedia pada bila-bila masa.

“Beliau (Najib) kini memilih mencabar saya di awal bulan Ramadan setelah gagal menjawab sanggahan saudara Rafizi Ramli mengenai kemelut ‘bail-out’ Sapura dalam keadaan rakyat miskin dan para peniaga kecil yang tidak terbela,” kata Anwar.

Mengulas lanjut, Najib turut menyatakan tidak memahami kenyataan dibuat oleh Anwar berhubung pihak mana yang mencabar terlebih dahulu untuk mengadakan debat itu.

“Seolah-olah Rafizi menipu Anwar apabila dia memberi taklimat kepada Anwar berhubung isu ini. Yang mula-mula cabar untuk debat ialah Rafizi sehari dua sebelum Ramadan bermula.

Artikel Berkaitan:

“Saya cuma sahut sahaja dan saya sudah menjawab kesemua sanggahan Rafizi setiap kali dia naikkan. Setakat ini dia cuma buat hantaran tiga kali berhubung isu ini,” tegasnya.

Najib turut menyenaraikan tiga hantaran yang dibuat oleh Rafizi itu iaitu tentang tidak menggunakan wang rakyat bagi membantu golongan elit, mengapa membisu apabila pengurusan lama Sapura Energy dibayar gaji dan pampasan besar sewaktu dirinya menjadi Perdana Menteri dan mengenai pengurusan syarikat itu yang telah mempunyai pelan rasionalisasi serta orang ramai perlu mempercayai tenaga profesional.

“Ketiga-tiga sanggahan Rafizi, saya sudah jawab siap dengan fakta dan bukti,” ujarnya.