Beroperasi dalam kampung untuk kaburi mata pihak berkuasa

Anggota polis melakukan pemeriksaan identiti ke atas warga asing yang dipercayai pemilik premis perniagaan barang lusuh di Kota Tinggi.
Anggota polis melakukan pemeriksaan identiti ke atas warga asing yang dipercayai pemilik premis perniagaan barang lusuh di Kota Tinggi.
A
A
A

KOTA TINGGI - Aktiviti perniagaan barang lusuh secara haram yang beroperasi di kawasan kampung dan tidak meletakkan papan tanda perniagaan terbongkar apabila premis terbabit diserbu pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, dalam operasi barangan lusuh dilaksanakan dari jam 9.30 pagi hingga 1 tengah hari itu seramai tiga lelaki tempatan, empat warga Myanmar dan Bangladesh berusia 19 hingga 59 tahun ditahan.

Katanya, menerusi risikan dijalankan empat premis dikendalikan warga asing terbabit dipercayai sudah beroperasi sejak setahun lalu.

"Mereka tidak meletakkan papan tanda perniagaan dan beroperasi di kawasan kampung bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Barangan terpakai dibeli daripada warga tempatan yang datang sendiri ke premis terbabit selain mereka juga ada keluar mencari sendiri," katanya pada sidang akhbar selepas operasi barangan lusuh di sekitar Kota Tinggi, Sungai Rengit dan Pengerang di Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Kota Tinggi di sini pada Isnin.

Jelasnya, pengusaha premis terbabit didapati menerima barangan seperti kawad kuprum, tembaga dan meter air meskipun ia merupakan satu kesalahan serius.

Katanya, empat kompaun berjumlah RM500 dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia ( KKM) kepada pemilik premis mengikut Akta Pemusnah Serangga Pembawa Penyakit 1975.

"Warga asing yang ditahan akan direman selama 14 hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6 Akta Perniagaan Sekendhend 1946 dan Akta Imigresen 1959/63.

Artikel Berkaitan:

"Warga tempatan yang ditahan pula akan dibebaskan selepas keterangan diambil, kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Perniagaan Sekendhend 1946," katanya.

Tambahnya lagi, operasi melibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB), KKM, SAJ Ranhill dan pihak berkuasa tempatan itu akan diteruskan bagi memastikan daerah Kota Tinggi tidak menjadi lubuk perniagaan barang lusuh secara haram.