Kertas siasatan aksi bahaya kanak-kanak dirujuk ke TPR

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

IPOH - Polis telah melengkapkan siasatan berhubung rakaman aksi bahaya tiga kanak-kanak mengeluarkan kepala ketika kenderaan bergerak di jalan raya pada 22 Mac lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kertas siasatan kes itu telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan dan tindakan selanjutnya.

"Siasatan selesai dijalankan dan kita telah merujuk kertas siasatan kepada TPR atau Pengarah Pendakwaan Negeri untuk arahan lanjut.

"Kita telah tahan penjaga atau bapa kepada kanak-kanak ini dan suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis," katanya kepada pemberita pada program 'First Day at School' di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan, Jalan Batu Bungkal di sini pada Isnin.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak mereka.

Media melaporkan polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun pada 24 Mac lalu bagi membantu siasatan selepas video terbabit tular di media sosial.

Aksi berbahaya tiga kanak-kanak berpakaian seragam sekolah yang bertindak mengeluarkan kepala ketika sebuah kereta jenis Mercedes-Benz sedang bergerak berjaya dirakam pengguna jalan raya.

Polis membuat siasatan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain dan Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Artikel Berkaitan:

Mior Faridalathrash (dua dari kiri) menyerahkan pelitup muka kepada pelajar sekolah pada program 'First Day at School' di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan di Ipoh.
Mior Faridalathrash (dua dari kiri) menyerahkan pelitup muka kepada pelajar sekolah pada program 'First Day at School' di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan di Ipoh.

Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata, pemantauan prosedur operasi standard (SOP) akan terus dilaksanakan termasuk di bazar Ramadan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Meskipun negara sudah memasuki fasa endemik, SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih perlu dipatuhi sepenuhnya.

"Kita tidak mahu bazar Ramadan menjadi tempat penularan wabak Covid-19 ini jadi, kita akan bersama PBT pastikan semua patuhi SOP," katanya.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, program yang diadakan serentak di seluruh negara itu dapat mengeratkan hubungan polis dan pihak sekolah selain meningkatkan kerjasama sosial terutamanya berkaitan masalah disiplin pelajar.

"Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan semua sekolah dan murid mematuhi semua SOP yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan ketika berada di kawasan sekolah terjaga.

"Pemantauan secara berkala akan turut dilakukan oleh Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dan elemen lain PDRM seperti pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB)," katanya.