Polis kesan video tular aksi bahaya kanak-kanak

Tangkap layar video tiga kanak-kanak melakukan aksi berbahaya dengan mengeluarkan kepala ketika kenderaan itu bergerak di Jalan Tambun, Ipoh. - Foto ihsan pembaca
Tangkap layar video tiga kanak-kanak melakukan aksi berbahaya dengan mengeluarkan kepala ketika kenderaan itu bergerak di Jalan Tambun, Ipoh. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Polis sedang mengesan individu yang terlibat dalam video tular menunjukkan tiga kanak-kanak melakukan aksi berbahaya dengan mengeluarkan kepala ketika kenderaan itu bergerak di jalan raya di sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis mengesan kejadian itu menerusi rakaman video durasi seminit dua saat itu di laman Facebook 'Info Roadblock' yang disyaki berlaku di Jalan Tambun di sini pada tarikh dan waktu yang belum dikenal pasti.

"Video tersebut mendapat perhatian masyarakat. Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh telah terima satu laporan mengenai kejadian tersebut.

"Polis kini sedang mengesan individu-individu yang terlibat dalam kes tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.

"Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Yap Siew Cheng di talian 012-9093362 untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan: