Anggota penguat kuasa KPDNHEP Johor pantau stesen minyak

Anggota penguat kuasa melakukan pemantauan di stesen minyak di sekitar Johor Bahru. - Foto KPDNHEP Johor
Anggota penguat kuasa melakukan pemantauan di stesen minyak di sekitar Johor Bahru. - Foto KPDNHEP Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 200 orang anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor akan memantau dan melaksanakan pemeriksaan agar tidak berlaku ketirisan berlaku melibatkan barang kawalan terutamanya petrol dan diesel.

Pengarahnya, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata stesen-stesen minyak berhampiran sempadan Malaysia- Singapura akan dipantau susulan isu tular melibatkan kenderaan pendaftaran asing membuat pengisian minyak RON95.

Katanya, isu tular itu telah disiarkan oleh beberapa akhbar serta media sosial selepas pengumuman pembukaan sempadan Malaysia - Singapura bermula Jumaat.

"Hasil daripada pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan mendapati tiada aktiviti seperti yang diadukan dan penjualan berlaku dalam tahap yang memuaskan.

"Kesemua stesen yang diperiksa diberi peringatan agar mematuhi undang-undang berkaitan Akta Kawalan Bekalan, (AKB) 1961 antaranya jika melibatkan kenderaan pendaftaran asing dilarang membeli Petrol RON95.

"Dibenarkan membeli diesel sekali dalam sehari yang dihadkan kepada 20 liter sahaja di mana-mana stesen minyak dalam jarak 25 kilometer (km) daripada pintu sempadan Malaysia-Singapura dan dibenarkan membeli Petrol RON97 tanpa had dengan syarat dimasukkan terus ke tangki kenderaan,"katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Menurut Mohd Hairul Anuar, tindakan tegas akan diambil sekiranya peniaga didapati melakukan kesalahan berkaitan barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan, (AKB) 1961.

"Peniaga diingatkan tidak mengambil kesempatan semasa pembukaan sempadan ini. Mereka perlu mematuhi segala undang-undang perniagaan yang telah ditetapkan oleh kementerian," katanya.

Artikel Berkaitan: