Ringgit diniagakan dalam corak tidak menentu minggu depan

Ringgit dijangka terus diniagakan dalam corak tidak menentu minggu depan. - Gambar hiasan
Ringgit dijangka terus diniagakan dalam corak tidak menentu minggu depan. - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dijangka terus diniagakan dalam corak tidak menentu minggu depan berikutan petunjuk bercampur-campur daripada perkembangan ekonomi global yang mungkin mendorong lebih ramai pelabur untuk tidak memasuki pasaran, kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, unit tempatan mungkin kekal pada paras semasa memandangkan wujud ketidaktentuan berterusan ekoran perang di Ukraine selain turun naik ketara harga komoditi khususnya.

Beliau berkata, bagaimanapun prospek ekonomi yang lebih baik susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April juga akan mempengaruhi nilai ringgit minggu depan.

"Kenyataan Bank Negara Malaysia baru-baru ini juga menunjukkan bank pusat kekal berwaspada dengan prospek yang berkembang walaupun pembukaan semula sempadan dan peningkatan luaran akan mengukuhkan prestasi ekonomi Malaysia tahun ini.

"Oleh itu, kami menjangkakan ringgit stabil pada sekitar RM4.20 hingga RM4.21 minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Berasaskan mingguan, ringgit rendah berbanding dolar Amerika Syarikat kepada 4.2110/2135 pada Jumaat daripada 4.2080/2110 minggu lepas.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Artikel Berkaitan:

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.4376/4399 daripada 3.4608/4633 minggu lepas, namun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1061/1082 daripada 3.1021/1045.

Unit tempatan mengukuh berbanding pound British kepada 5.5286/5319 daripada 5.5394/5434 bagaimanapun rendah berbanding euro kepada 4.6557/6584 daripada 4.6305/6338. - Bernama