Bank Islam lancar kad edisi terhad Piala Dunia FIFA 2026

SEMPENA persiapan dunia menjelang Piala Dunia FIFA 2026™, Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyemarakkan debaran bola sepak global dengan melancarkan Kad Debit-i dan Kad Kredit-i Bank Islam Visa FIFA World Cup 2026™ edisi terhad.
Dibangunkan dengan kerjasama strategik bersama Visa, pelancaran tersebut mencatatkan sejarah tersendiri apabila menjadi produk kad pertama Bank Islam yang menampilkan tema rasmi Piala Dunia FIFA bertepatan dengan peningkatan keterujaan dalam kalangan peminat bola sepak.
Pegawai Bertanggungjawab dan Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Perbankan Runcit Bank Islam, Mizan Masram berkata, kempen yang bermula 1 Mac hingga 30 April 2026 tersebut menawarkan peluang keemasan kepada pemegang kad untuk memenangi tiket menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala Dunia FIFA 2026™ secara langsung di Amerika Syarikat.
Menurutnya, pemegang kad juga berpeluang untuk memenangi tiket penerbangan pergi dan balik serta layanan hospitaliti, termasuk wang saku bernilai RM10,000.
"Bola sepak menyatukan rakyat merentas generasi dan budaya, dan kami ingin membawa semangat hebat dan bermakna ini kepada rakyat Malaysia.
"Kad edisi terhad ini membolehkan pelanggan kami membawa sebahagian daripada semangat itu bersama mereka, menjadikan setiap sentuhan kad bagaikan satu langkah lebih dekat dengan kemeriahan Piala Dunia FIFA 2026™," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau menambah, kad edisi terhad berkenaan bukan sekadar untuk koleksi peminat, malah ia dilengkapi ciri keselamatan dan ganjaran digital yang memenuhi gaya hidup pelbagai pelanggan masa kini.
Justeru, Bank Islam menyasarkan 5,000 pemegang Kad Kredit-i baharu dan 20,000 pemegang Kad Debit-i baharu sepanjang tempoh kempen tersebut.
"Kerjasama dengan Visa terus memainkan peranan penting ketika Bank Islam memperkukuhkan penawaran digital dan ekosistemnya, selaras dengan pembangunan ekosistem tanpa tunai yang semakin pesat di Malaysia.
"Selain meningkatkan pengalaman pelanggan, kerjasama ini mempercepatkan misi Bank Islam untuk membina landskap kewangan yang lebih inklusif, inovatif, dan berdaya digital bagi Malaysia," katanya.
Pemegang Kad Kredit-i edisi terhad berkenaan berpeluang menikmati pulangan tunai sehingga 5.0 peratus bagi transaksi dalam talian, bil automatik, barangan runcit dan makan, selain pilihan ansuran fleksibel menerusi pelan GoFlexi dan GoCash.
Dari aspek keselamatan, kad ini dilengkapi amaran transaksi masa nyata dan keupayaan membekukan kad secara serta-merta melalui perbankan dalam talian bagi memastikan ketenangan fikiran pengguna.
Ringkasan AI
- Bank Islam Malaysia Berhad melancarkan Kad Debit-i dan Kad Kredit-i Visa FIFA World Cup 2026 edisi terhad
- Pelancaran produk kad ini mencatat sejarah kerana menampilkan tema rasmi Piala Dunia FIFA
- Kempen berlangsung dari 1 Mac hingga 30 April 2026, menawarkan peluang memenangi tiket menyaksikan perlawanan separuh akhir dan layanan hospitaliti di Amerika Syarikat
- Kad ini dilengkapi ciri keselamatan dan ganjaran digital, menyasarkan 5,000 pemegang Kad Kredit-i dan 20,000 pemegang Kad Debit-i baharu
- Kerjasama dengan Visa mengukuhkan penawaran digital dan ekosistem pembayaran tanpa tunai, mendukung misi Bank Islam untuk pembangunan ekosistem kewangan berdaya digital
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
