Ringgit dijangka berlegar sekitar RM4.46 hari ini

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin.
Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin.
A
A
A

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada hari pertama dagangan bulan ini dan diramal bergerak sekitar paras RM4.46 pada Isnin berikutan sentimen pasaran yang kekal tidak menentu, menurut seorang peniaga.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.4645/4680 berbanding mata wang negara maju daripada 4.4600/4645 sewaktu ditutup pada Jumaat.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, peniaga masih berbelah bagi sama ada Rizab Persekutuan AS mungkin mengubah pendirian terhadap dasar monetari AS pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan datang.

Beliau berkata, pasaran akan memantau rapat keputusan FOMC dengan kebanyakan ahli ekonomi mengunjurkan peningkatan 25 mata asas.

"Selain itu, data di AS terus menunjukkan sentimen pasaran masih lemah. Indeks ISM bagi sektor pembuatan meningkat sedikit kepada 47.1 mata pada April, namun berada di bawah garisan sempadan 50 mata selama enam bulan.

"Keadaan ini menunjukkan perniagaan di AS kekal berwaspada dan mungkin memberi kesan kepada keputusan mereka dari segi pengambilan pekerja. Oleh itu, banyak pihak yang akan memantau data senarai gaji bukan ladang pada Jumaat,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2488/2516 daripada 3.2770/2805 pada penutupan Jumaat dan menokok berbanding peso Filipina kepada 8.04/8.06 daripada 8.05/8.06 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit dibuka rendah berbanding euro kepada 4.9034/9072 daripada 4.9011/9060 pada Jumaat lepas dan merosot berbanding pound Britain kepada 5.5793/5837 daripada 5.5558/5614 sebelum ini.

Unit tempatan turut diniagakan rendah berbanding mata wang Asean.

Ringgit merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 304.2/304.5 daripada 303.9/304.3 pada Jumaat lepas, menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.3409/3438 daripada 3.3351/3387 dan turun berbanding baht Thailand kepada 13.0656/0800 daripada 13.0612/0801 sebelumnya.

Pasaran ditutup semalam bersempena dengan Hari Pekerja. - Bernama