Hidung cacat, pendandan rambut saman dua doktor RM2.7 juta

Adam berkongsi gambar sebelum dia menjalani pembedahan hidung di klinik kecantikan berkenaan.
Adam berkongsi gambar sebelum dia menjalani pembedahan hidung di klinik kecantikan berkenaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pendandan rambut menyaman dua doktor sebuah klinik kecantikan dengan tuntutan ganti rugi sebanyak RM2.7 juta kerana didakwa mengakibatkan kecacatan pada bahagian hidungnya selepas menjalani pembedahan.

Adam Hamil, 35, mengunjungi klinik kecantikan berkenaan untuk melakukan pembedahan 'rhinoplasty surgery' pada 21 Mei tahun lalu bagi membetulkan kedudukan hidungnya yang didakwanya senget.

Menurutnya, pembedahan yang menelan belanja sebanyak RM10,000 itu bagaimanapun tidak menepati hasratnya lalu menjalani pembedahan kali kedua pada 28 Jun secara percuma namun keadaan hidungnya menjadi lebih teruk.

"Hidung saya asalnya normal tetapi senget sikit, saya hendak betulkan dan doktor janji dia boleh buat (pembedahan) dengan 98 peratus hidung saya akan sempurna, tetapi beginilah keputusan yang saya dapat.

"Selepas dua pembedahan, doktor terbabit membuat tawaran agar saya menjalani pembedahan buat kali ketiga, ibarat diri saya ini seperti 'tikus makmal' namun saya menolak," katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabat guaman yang mewakilinya, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Menara Dato' Onn Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.

Adam mendakwa, insiden itu menyebabkan dia mengalami trauma, kejutan dan tekanan perasaan, malah kehilangan reputasi serta keyakinan dalam perniagaannya lalu mengambil keputusan menuntut ganti rugi.

Adam diwakili tiga peguam Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak iaitu Datuk Wan Azmir Wan Majid, Datuk Abu Bakar Isa Tamat dan Emylia Atan.

Tuntutan RM2.7 juta itu antara lainnya membabitkan Gantirugi Khas berjumlah RM152, 211.95, Gantirugi Am berjumlah RM2,100,000 termasuk gantirugi bagi kecuaian perubatan, trauma, kejutan dan tekanan perasan, kehilangan reputasi dan keyakinan perniagaan serta Gantirugi Teladan berjumlah RM500,000.

Artikel Berkaitan:

Saman tersebut telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 12 Mei depan.