Ahli Parlimen Kepong mohon tangguh bayar ganti rugi RM2 juta

Lip Eng
Lip Eng
A
A
A

PUTRAJAYA - Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan untuk menangguhkan keputusan mahkamah supaya beliau membayar ganti rugi RM2 juta dalam saman fitnah yang difailkan terhadap beliau oleh MonSpace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya, Datuk Seri Jessy Lai Cha Suang.

Peguamnya, Guok Ngek Seong ketika dihubungi Bernama, mengesahkan bahawa notis usul memohon perintah penangguhan, difailkan semalam berserta sijil perakuan segera.

Dalam permohonannya, Lip Eng mahu mahkamah menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 16 Mac tahun ini yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi RM2 juta, sementara menunggu penyelesaian rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Beliau juga memohon penangguhan sementara keputusan Mahkamah Tinggi sementara menunggu penyelesaian permohonan penangguhannya.

Pada 16 Mac lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Lim membayar RM2 juta kepada syarikat e-dagang dan Lai selepas membenarkan saman fitnah mereka. Lim kemudiannya memfailkan rayuan pada hari yang sama.

Ngek Seong berkata, pengurusan kes ditetapkan esok di hadapan pendaftar Mahkamah Rayuan.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Lip Eng untuk penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi menyebabkan beliau memfailkan permohonan penangguhan itu di Mahkamah Rayuan.

Jessy dan MonSpace memfailkan saman terhadap Lip Eng (defendan) pada Jun 2019, kerana mendakwa defendan mengeluarkan kenyataan fitnah yang diterbitkan dalam akhbar berbahasa Inggeris dan Cina bahawa mereka menjalankan perniagaan haram dan menipu pelabur dari negara China.

Jessy berkata, Lip Eng membuat kenyataan itu pada Mei 2017 dan November 2018 apabila beliau membawa sekumpulan individu, yang dikatakan pelabur MonSpace, ke pejabat Jessy dan kemudiannya membuat laporan polis terhadapnya.

Beliau mendakwa kenyataan itu memberi tekanan kepada pihak berkuasa, termasuk polis, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN), untuk mengambil tindakan terhadapnya.

Dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir berkata, mahkamah mendapati MonSpace dan Jessy berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadap Lip Eng kerana memfitnah dan kenyataan Lip Eng juga jelas telah mencemarkan imej dan reputasi mereka. - Bernama