Saksi akui rakam Bella, lapor polis supaya Siti Bainun ditangkap

Siti Bainun (kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.
Siti Bainun (kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kawan baik kepada pengasas Rumah Bonda memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, bahawa dia merakam kecederaan seorang remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella dan membuat dua laporan polis supaya pengasas rumah berkenaan, Siti Bainun Ahd Razali ditangkap.

Zurianty Sudin, 39, berkata demikian ketika ditanya peguam, Asiah Abd Jalil yang mewakili Siti Bainun dalam prosiding kes menganiaya dan mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan sindrom Down sehingga mengalami kecederaan fizikal serta emosi di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Saksi pendakwaan pertama yang bekerja sebagai pembantu pengurus kewangan sebuah syarikat swasta berkata, dua laporan polis itu dibuat pada 24 Jun 2021 dan 1 Julai 2021.

Asiah: Kamu tahu tak Siti Bainun ditangkap pada 15 Julai, bukannya 16 Julai?

Zurianty: Tak tahu.

Asiah: Kamu tahu tak, pada 16 Julai, Siti Bainun dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman?

Zurianty: Saya cuma tahu dari media masa.

Asiah: Apa perasaan kamu apabila mengetahui permohonan reman itu ditolak?

Artikel Berkaitan:

Zurianty: Biasa sahaja, sebab ia prosedur yang saya kurang arif dan saya tahu ia ikut undang-undang.

Asiah: Tapi, sejak 24 Jun, kamu tulis di Facebook 'counting days' setiap hari mengenai kes Bella. Setuju dengan cadangan saya?

Zurianty: Setuju.

Asiah: Sebenarnya kamu berharap Siti Bainun ditangkap?

Zurianty: Setuju

Asiah: Tetapi setelah mahkamah tidak benar reman, saya cadangkan kamu buat usaha lain, wujudkan cerita dera sebagai 'plan B' supaya Siti Bainun ditangkap.

Zurianty: Tidak setuju.

Asiah: Saya cadangkan kamu jumpa penghuni (anak-anak) Rumah Bonda, ajar mereka cara buat laporan polis terhadap Siti Bainun.

Zurianty: Tidak setuju.

Wanita itu juga mengakui bahawa dia merupakan individu yang merakam kecederaan Bella di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju pada Jun.

Namun dia menafikan video itu yang diambil untuk dibocorkan, disebarkan ke media sosial atau mahu mendapatkan perhatian.

Dia juga berkata tidak bersetuju, atas cadangan peguam bahawa dia mempunyai perasaan tidak puas hati dan cemburu terhadap Siti Bainun.

“Saya hanya berkawan baik dengan Siti Bainun sehingga Jun 2021, tiada pergaduhan atau perbalahan.

“Tiada dendam, dengki atau niat jahat tapi saya tidak mahu terus dibohongi, diperbodohkan dan diberikan alasan tidak munasabah (oleh Siti Bainun),” katanya.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun.

Perbicaraan bersambung Isnin depan.