Pengembara diingatkan patuh peraturan imigresen, protokol kesihatan

Pengembara asing yang ingin memasuki Malaysia apabila sempadan negara dibuka mulai 1 April ini perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan Jabatan Imigresen.
Pengembara asing yang ingin memasuki Malaysia apabila sempadan negara dibuka mulai 1 April ini perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan Jabatan Imigresen.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengembara asing yang ingin memasuki Malaysia apabila sempadan negara dibuka mulai 1 April ini perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan Jabatan Imigresen.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, antara peraturan itu adalah mempunyai kewangan atau kemudahan kredit yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan di Malaysia, mempunyai tiket pulang ke negara asal dan mempunyai tempat tinggal di Malaysia yang telah ditempah serta pasport mestilah melebihi tempoh enam bulan.

"Bagi (pengembara) negara-negara yang memerlukan visa, mereka wajib memohon visa. Sekarang ini visa boleh dimohon melalui eVisa secara dalam talian, semua bayaran iaitu bayaran visa itu sendiri dan bayaran proses juga boleh dibuat secara dalam talian," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Beliau berkata, para pelawat juga diingatkan untuk mematuhi protokol kesihatan yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), antaranya memuat naik aplikasi MySejahtera, melakukan ujian RTK-Antigen (Ag) profesional sama ada di fasiliti kesihatan swasta di pintu masuk antarabangsa atau di luar pintu masuk antarabangsa dalam tempoh 24 jam.

"Perkara paling penting dalam pembukaan sempadan ialah peraturan. Terdapat dua jenis peraturan yang mesti dipatuhi pelawat asing iaitu protokol KKM dan peraturan imigresen," katanya anggota imigresen yang bertugas di kaunter pintu masuk dan sempadan memahami kesemua peraturan tersebut.

Pada 8 Mac lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara dibuka semula pada 1 April ini selari dengan perancangan negara memasuki fasa peralihan ke endemik.

Dari segi keanggotaan pula, Khairul Dzaimee berkata, anggota imigresen yang akan ditugaskan menjaga sempadan negara adalah mencukupi.

"Sebelum pandemik, jumlah mereka yang bertugas di pintu-pintu masuk ini lebih kurang 5,000 orang dan semasa pandemik, terdapat kalangan mereka ini yang kami beri tugasan lain iaitu menguruskan depoh-depoh sementara yang terpaksa dibuka bagi menguruskan pendatang tanpa izin yang semakin meningkat.

"Sekarang mereka ini akan dibawa balik semula ke pintu-pintu masuk untuk menjaga kaunter secara berperingkat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sistem laluan automatik seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah diaktifkan sejak sebulan lepas dan berfungsi dengan baik. - Bernama