Dr Muhammad Radzi dilantik Ketua Pengarah Kesihatan baharu

Datuk Dr Muhammad Radzi - Foto The Star
Datuk Dr Muhammad Radzi - Foto The Star
A
A
A

PUTRAJAYA - Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan yang baharu berkuat kuasa Jumaat lepas, demikian umum Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Dr Muhammad Radzi, 58, yang sebelum ini Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), menggantikan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang bersara wajib pada Jumaat selepas 35 tahun berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

Dr Zaliha dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, pelantikan Dr Muhammad Radzi adalah berdasarkan kelayakan dan pengalaman luas dalam bidang perkhidmatan kesihatan negara.

Dr Muhammad Radzi pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah, Ketua Penyelaras Perubatan Negeri Kedah dan Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Kedah.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Perkhidmatan Gastroentrologi dan Hepatologi dan menjadi pengerusi pentauliahan bidang kepakaran tersebut dari 2013 sehingga 2021.

"Saya yakin dengan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran serta kredibiliti beliau mampu memberikan yang terbaik dan menjadi rakan pasukan bersama saya dalam memastikan matlamat dan agenda reformasi kesihatan negara dilaksanakan secara menyeluruh," kata Dr Zaliha. - Bernama