Mualaf mohon keluar Islam bukan sebab masalah duit

Mohd Farid Ravi (dua dari kanan) melancarkan Modul Bersepadu Baitus Salam LZS di Hotel Geno, di sini pada Rabu.
Mohd Farid Ravi (dua dari kanan) melancarkan Modul Bersepadu Baitus Salam LZS di Hotel Geno, di sini pada Rabu.
A
A
A

SUBANG JAYA - Kebanyakan kes mualaf memohon kembali ke agama asal bukan disebabkan masalah duit, tiada perlindungan atau tidak menerima bantuan sebaliknya disebabkan faktor lain.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Mualaf Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Prof Madya Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata, antara faktor itu kerana kecewa selepas gagal dalam perkahwinan dan mahu kembali bersama keluarga asal dengan memilih tidak mahu meneruskan kehidupan sebagai seorang Muslim.

Menurutnya, terdapat juga kes mereka yang mahu keluar daripada Islam kerana tidak boleh menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu dan beranggapan Islam sebagai agama yang susah.

Selain itu katanya, terdapat pihak tertentu yang menyediakan saluran kepada saudara baharu tersebut untuk keluar daripada Islam melalui khidmat guaman terutama melibatkan kes pengislaman yang dianggap bersifat kontroversi.

"Ada permohonan murtad bukan hanya di Selangor tetapi di semua negeri. Di Selangor jumlah yang memohon masuk Islam adalah tertinggi dalam negara, oleh itu kita juga akan melihat kes-kes permohonan keluar daripada Islam yang dibuat melalui mahkamah syariah.

"Apa yang dilakukan adalah MAIS akan atur 12 sesi kaunseling atau istitabah untuk perbetulkan niat dan hasrat mereka. Hasil kaunseling tersebut menunjukkan perkembangan positif.

"Kita juga sediakan khidmat guaman kepada mereka, bukan membela mereka untuk murtad sebaliknya mempertahankan akidah mereka," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Modul Bersepadu Baitus Salam Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Hotel Geno, di sini pada Rabu.

Mohd Farid Ravi (kiri) melancarkan Modul Bersepadu Baitus Salam LZS di Hotel Geno, di sini pada Rabu.
Mohd Farid Ravi (kiri) melancarkan Modul Bersepadu Baitus Salam LZS di Hotel Geno, di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf LZS, Dr Adibah Abdul Wahab dan Timbalan Setiausaha MAIS, Nurhani Salwa Jamaluddin.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kes permohonan keluar Islam tersebut adalah rendah berbanding jumlah pengislaman saudara baharu.

Jelasnya, purata individu memeluk Islam di Selangor antara 1,600 hingga 1,800 orang setahun.

Tambahnya, menjadi cabaran buat MAIS untuk membantu mualaf menjalani kehidupan baharu sebagai seorang Muslim melalui pendidikan, perlindungan dan kebajikan.

"Kalau lihat dari segi kebajikan ia tiada isu kerana LZS sentiasa bantu dari A hingga Z. Apabila mereka masuk Islam, maklumat mereka akan dihantar ke LZS untuk hadir ke kelas pengajian.

"Kita sediakan platform, selain penyediaan kelas pengajian mereka juga akan dapat bantuan bulanan dan bantuan kebajikan mengikut keperluan," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Baitus Salam menjelaskan modul bersepadu yang dilancarkan merupakan usaha LZS bagi mempertingkatkan kualiti pembelajaran dan bimbingan di pusat perlindungan mualaf tersebut.

"Ia dibangunkan merangkumi empat modul iaitu pembangunan ilmu, pengurusan diri, kepimpinan dan kemahiran kerjaya.

"Modul ini dibangunkan dengan kerjasama kumpulan penyelidik dari Institusi Kajian Zakat Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) diharapkan mampu melahirkan mualaf berkualiti dalam aspek pengetahuan, amalan dan keperibadian mereka pada masa hadapan," katanya.