Menang PRN bukan sebab penyokong taasub atau fanatik - Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) adalah disebabkan rakyat sudah memahami hala tuju parti-parti yang bergabung dalam PN.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, disebabkan itu juga PN dapat mengekalkan kuasa di tiga negeri ditadbir gabungan itu, selain meraih kejayaan lebih baik di negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, kefahaman itu sekali gus menepis dakwaan yang mengaitkan kemenangan PN dengan ketaasuban dan fanatik penyokong PN yang kononnya akan menuruti apa sahaja arahan parti.

“Kemenangan PN atas kefahaman rakyat atau pengundi. Kita telah berikan kefahaman kepada mereka untuk buat penilaian.

“Rakyat yang buat keputusan dalam PRN berdasarkan kepada kefahaman itulah, bukan sebab taasub atau fanatik,” katanya di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros mendakwa ketaasuban dan fanatik sesetengah penyokong PN di Kedah, Kelantan dan Terengganu menjadi antara faktor kekalahan Barisan Nasional (BN) dan PH di negeri berkenaan.

Noor Azleen berkata, ia menjadi satu fenomena yang mana tiada apa boleh mengubah persepsi atau keputusan penyokong tersebut meskipun untuk perubahan dan kebaikan rakyat negeri itu.

Beliau dilaporkan berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar siri ke-409 bertajuk: Pelan Berdamai: Realiti atau Mimpi Politik yang dihoskan Ismail Adnan.

Artikel Berkaitan:

Program itu turut menampilkan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Rafiq Mohd Abdullah dan Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzri Helmi Azhar.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN menyifatkan kenyataan Noor Azleen sebagai ucapan berbaur taasub.

“Itulah contoh pengucapan yang taasub, datangnya daripada dia (Noor Azleen), bukan kita.

“Orang yang taasub sahaja akan buat kenyataan seperti itu. Dia yang taasub, sehinggakan orang lain semua tak betul, dia seorang saja betul. Haa, itu taasub lah,” jelasnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Taasub, fanatik penyokong PN punca kekalahan BN - Noor Azleen