'Pertemuan Nik Abduh-Anwar bukan sebab PRN' - Sanusi

Muhammad Sanusi (hadapan) bersama 175 penerima geran Daerah Kuala Muda di Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah pada Ahad.
Muhammad Sanusi (hadapan) bersama 175 penerima geran Daerah Kuala Muda di Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz disifatkan tiada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, gambar tular mengenai perjumpaan kedua-dua pemimpin itu adalah bukan disebabkan kepentingan politik.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, pertemuan antara pemimpin berlainan politik, bukanlah sesuatu yang dianggap luar biasa.

"Gambar boleh tafsir macam-macam, ikut suka orang lah nak tafsir macam mana pun, saya pun biasa jumpa dengan perdana menteri, biasa sahaja," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Penyerahan Geran Tanah Daerah Kuala Muda di Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) pada Ahad.

Hadir sama Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah, Datuk Md Shuhaime Abd Rahman, barisan wakil rakyat dan pegawai kanan pelbagai agensi kerajaan.

Jelas Sanusi, tidak semua pimpinan politik bermusuhan dan sebilangannya masih mempunyai nilai kemanusiaan antara satu sama lain biarpun perbezaan fahaman.

"Kita bukan bermusuh 100 peratus, kadang-kadang ada benda yang dikenang, yang boleh berhubung lagi, kita berhubung.

"Jangan berkelahi (gaduh) sampai habis, kalau sayang pun jangan sayang habis, benci pun jangan benci habis, simpah 10 peratus beda (sementara) nak baik balik...saya rasa tak ada isu apa," ujarnya.

Sementara itu, Sinar Harian pada Sabtu melaporkan kenyataan Nik Mohamad Abduh bahawa pertemuan antara beliau dan Anwar tidak mempunyai kaitan dengan kepentingan politik.

Jelas Nik Mohamad Abduh, perjumpaan itu adalah bersempena penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani di Pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di Kelantan.

"Pada pertemuan itu, saya ucap tahniah dan mendoakan semoga Datuk Seri dapat jalankan tugas dengan baik, saya turut membawa amanah daripada orang untuk disampaikan. Soal politik tiada,"jelasnya.