Jakim sasar semua negeri guna e-Mualaf

Hakimah (kiri) beramah mesra bersama sebahagian guru-guru pada Majlis Perasmian Simposium Guru-Guru Mualaf Peringkat Kebangsaan Kali Pertama Tahun 2022 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini. Foto Bernama
Hakimah (kiri) beramah mesra bersama sebahagian guru-guru pada Majlis Perasmian Simposium Guru-Guru Mualaf Peringkat Kebangsaan Kali Pertama Tahun 2022 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyasarkan semua negeri menggunakan sistem pengkalan data mualaf, e-Mualaf pada penghujung tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, sejak dibangunkan pada tahun 2013, sistem tersebut telah digunakan di tujuh buah negeri termasuk Wilayah Persekutuan.

"Negeri lain yang telah menggunakan sistem ini adalah Perlis, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Simposium Guru Mualaf Peringkat Kebangsaan, di sini pada Selasa.

Menurutnya, sistem tersebut merupakan inisiatif penting Jakim bagi mengumpul data mualaf.

"Setakat ini, seramai 58,670 mualaf di tujuh buah negeri tersebut direkodkan di dalam sistem tersebut," katanya.

Beliau berkata, sistem tersebut juga memudahkan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) untuk menyemak nama dan status agama.

"Kita juga telah bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) agar sistem ini boleh digunakan oleh mereka," katanya.

Hakimah berkata, e-mualaf juga memudahkan pengesahan sekiranya perebutan pengebumian jenazah antara keluarga dan JAIN.

Artikel Berkaitan:

"Kita selalu dengar perebutan jenazah antara keluarga dengan JAIN berlaku kerana rekod tidak jelas dan pendaftaran nama serta sebagainya tidak mengikut proses undang-undang," katanya.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Hakimah yang mewakili Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, terdapat 315 guru kelas fardhu ain mualaf di seluruh negara yang terdiri daripada kaum Cina, India, Sikh, Iban, Orang Asli dan Dusun yang telah lama memeluk agama Islam.

Malahan katanya, guru tersebut mempunyai kefahaman Islam yang mendalam serta sijil dalam bidang pengajian Islam.

"Ini jelas menunjukkan seruan kepada dakwah adalah merupakan tanggungjawab kepada semua yang beragama Islam," katanya.