Pahang miliki tanah rizab Melayu seluas 436,910.40 hektar

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Tanah rizab Melayu di seluruh Pahang yang diwartakan dibawah Enakmen Rizab Melayu (ERM) adalah seluas 436.910.47 hektar sehingga 25 Februari lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah tersebut membabitkan pecahan di 11 daerah di negeri ini.

"Daerah Jerantut merekodkan pewartaan tanah rizab tertinggi iaitu sebanyak 96,734.35 hektar diikuti Maran (60,760.42 hektar), Temerloh (59, 481.23 ) hektar dan Lipis (56,825.79 hektar).

"Seterusnya, daerah Pekan 52,260 44 hektar; Bera (38,536.85 hektar), Kuantan (31,656,05 hektar), Rompin (19.355.32 hektar), Raub (13,582.37 hektar), Bentong (5,034.86 hektar) dan Cameron Highlands pula sebanyak 2,682.79 hektar," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Datuk Mustapa Long (BN- Padang Tengku) yang ingin mengetahui jumlah terkini keluasan tanah telah digazetkan tanah rizab Melayu di seluruh Pahang mengikut daerah.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy turut menjelaskan tanah rizab Melayu yang strategik dan berpotensi terutamanya dari sudut ekonomi akan dibangunkan mengikut kesesuaian serta keperluan khususnya membabitkan masyarakat Melayu setempat.

Tambahnya, antara contoh pelaksanaannya adalah melalui pembangunan Skim Tanah Rakyat (STR) yang merupakan satu bentuk pembangunan berkonsepkan Rancangan Tanah Kelompok (RTK).

"Tanah rizab Melayu yang dibangunkan sama ada dijadikan lot kediaman atau diusahakan dengan aktiviti pertanian dengan objektif untuk meningkatkan lagi taraf sosioekonomi masyarakat orang Melayu.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, kerajaan Pahang dapat melaksanakan strategi serampang dua mata yang mana sesebuah kawasan tanah rizab Melayu bukan sahaja dibangunkan, malah keluasan tanah rizab Melayu sedia ada turut dapat ditingkatkan," ujarnya.

Menurutnya, susulan itu, sejumlah 7,814.37 hektar keluasan kawasan tanah rizab Melayu telah dapat ditambah daripada jumlah keseluruhan kawasan tanah rizab Melayu sedia ada melalui kejayaan pelaksanaan STR.

Tambahnya, tanah rizab Melayu turut dibangunkan bagi tujuan pembangunan projek perumahan bagi memudah cara pemilikan hartanah dalam kalangan masyarakat orang Melayu di Pahang.

"Jadi, premium yang dikenakan kerajaan Pahang untuk setiap kelulusan hanya separuh daripada nilaian sebenar jumlah premium tanah yang perlu dibayar oleh pemilik tanah.

"Pendekatan ini dilihat membantu mengurangkan kos pemilikan tanah, kos pembangunan serta dapat menyumbang kepada peningkatan peratusan pegangan atau pemilikan tanah masyarakat orang Melayu di Pahang," katanya.