Perak berjaya tambah tanah rizab Melayu lebih 2,000 hektar

Saarani (tengah) menyempurnakan pelancaran Pengeluaran Salinan Dokumen Hakmilik Keluaran (DHK) kepada Tuanpunya Bersama di bawah Seksyen 343 Kanun Tanah Negara (Akta 828).
Saarani (tengah) menyempurnakan pelancaran Pengeluaran Salinan Dokumen Hakmilik Keluaran (DHK) kepada Tuanpunya Bersama di bawah Seksyen 343 Kanun Tanah Negara (Akta 828).
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak berjaya menambah keluasan tanah rizab Melayu (TRM) sebanyak 2,409.28 hektar membabitkan tanah-tanah kerajaan bernilai tinggi dan berpotensi dimajukan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan TRM di negeri ini meningkat kepada 955,587.8 hektar.

Menurutnya, keputusan dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Rabu itu membabitkan kawasan Pasir Panjang Hulu, Mukim Pasir Panjang Hulu dan Kampung Makmur di Mukim Kampong Gajah dalam daerah Perak Tengah, masing-masing seluas 183 hektar dan 1,102 hektar.

"Turut membabitkan kawasan Mambang Di Awan dan Sungai Kroh di Mukim Chenderiang, Batang Padang masing-masing seluas 233.87 hektar dan 476.3 hektar.

"Kawasan Kota Baharu di Mukim Teja, Kampar (395.36 hektar) dan kawasan Slim Hills di Mukim Slim, Muallim (21.25 hektar)," katanya dalam majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perak di Hotel Kinta Riverfront di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Tanah dan Galian Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

Saarani berkata, Pejabat Tanah dan Galian Perak juga berjaya membuat rundingan untuk mewartakan kawasan seluas 800 hektar di Gunung Bersout, Batang Padang sebagai kawasan tambahan TRM.

"Kawasan ini merupakan wakaf saraan bagi masjid seluruh negeri Perak.

"Cadangan pewartaan ini akan diangkat untuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam masa terdekat," katanya.

Dalam majlis itu, Saarani turut menyempurnakan pelancaran Pengeluaran Salinan Dokumen Hakmilik Keluaran (DHK) kepada Tuanpunya Bersama di bawah Seksyen 343 Kanun Tanah Negara (Akta 828).

Beliau berkata, inisiatif itu membolehkan hak milik yang mempunyai perkongsian ramai dan tidak mengetahui kedudukan simpanan asal boleh membuat permohonan hak milik hilang.

Katanya, sebelum ini berlaku peningkatan permohonan hak milik hilang melibatkan pemilikan ramai susulan dokumen hilang, rosak atau ditahan pemilik bersama hingga mengakibatkan urusan berkaitan pindah milik, gadaian dan lien tidak dapat dilaksanakan.

"Melalui pendekatan ini juga, DHK yang dikeluarkan akan disimpan oleh Pendaftar atau Pentadbir Tanah bagi mana-mana hak milik yang dimiliki oleh ramai tuan punya berdaftar.

"Ini dilaksanakan bagi mengelakkan proses permohonan hak milik hilang dimohon oleh pemilik lain sekiranya terdapat isu pertelingkahan di mana tiada perjanjian di antara tuan punya bersama mengenai penjagaan hak milik," katanya.

Sempena majlis itu, seramai 22 kakitangan PTG Perak menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang diikuti Anugerah Khas PTG (30 orang), Penerima Sijil Terampil (20 orang) dan Pesara Tahun 2023 seramai tiga orang.