Ubah cara makan, sayangi buah pinggang

Hampir 50,000 rakyat Malaysia menjalani dialisis akibat masalah buah pinggang. Jumlah pesakit ini terus meningkat saban tahun dan dijangka mencecah 106,000 orang pada tahun 2040. - Gambar hiasan 123RF.
Hampir 50,000 rakyat Malaysia menjalani dialisis akibat masalah buah pinggang. Jumlah pesakit ini terus meningkat saban tahun dan dijangka mencecah 106,000 orang pada tahun 2040. - Gambar hiasan 123RF.
A
A
A

AMALAN pilih pemakanan sihat sangat penting dalam mengekalkan gaya hidup sihat.

Pemakanan mengikut piramid makanan dapat menjadikan seseorang itu kekal sihat dan bertenaga.

Dengan Ramadan yang bakal menemui kita tidak lama lagi, pastinya bazar dan bufet Ramadan kembali menjadi tumpuan selepas ‘sekatan’ akibat pandemik Covid-19 sejak beberapa tahun ini.

Dalam keadaan biasa, kita akan menganggap ia sebagai waktu untuk peniaga meraih pendapatan dan umat Islam pula menikmati pelbagai juadah enak untuk berbuka puasa.

Sebenarnya semua sudah sedia tahu, di bazar Ramadan itu penuh dengan pelbagai makanan yang tidak kita tentu sahkan jumlahnya dari segi penggunaan gula, garam dan bahan tambahan lain dalam setiap hidangan. Rasa yang sedap, menyelerakan dan pelbagai pilihan menjadikan kita lupa bahawa sebaik-baik amalan adalah bersederhana. Cukup-cukuplah beli juadah penuh gantung di jari kedua-dua tangan.

Namun, di sebalik keadaan itu, timbul kebimbangan mengenai tahap kesihatan penduduk negara ini yang semakin terjejas akibat gagal mengawal pemakanan.

Laporan Sinar Harian pada Isnin mendedahkan bahawa hampir 50,000 rakyat Malaysia menjalani dialisis akibat masalah buah pinggang.

Jumlah pesakit ini terus meningkat saban tahun dan dijangka mencecah 106,000 orang pada tahun 2040. Jumlah itu bukan sedikit.

Artikel Berkaitan:

Lalu kita terus meneka, apakah punca di sebalik masalah kesihatan ini dan tentunya tak lain dan tak bukan, apa yang dimakan dan dicerna di dalam perut kita setiap hari.

Menurut Pakar Nefrologi Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Muhammad Iqbal Abdul Hafidz, kebanyakan rakyat Malaysia ketika ini bukan sahaja didapati mengamalkan cara hidup tidak sihat, malah makan terlalu berlebihan.

Lebih memburukkan keadaan, katanya, individu terbabit turut mengambil makanan yang mengandungi kadar lemak, pengambilan garam dan gula yang tinggi termasuk makanan yang telah diproses.

“Sebanyak 60 peratus penyakit buah pinggang berpunca daripada kencing manis, selain disebabkan oleh darah tinggi dan obesiti yang mana buah pinggang perlu menampung kerja lebih kerana berat badan berlebihan.

“Faktor yang amat signifikan dalam negara kita pula adalah pengambilan suplemen yang kerap tanpa mendapatkan pemeriksaan atau nasihat pakar terlebih dahulu.

“Mereka lebih percaya testimoni daripada media sosial atau penjual produk,” jelas beliau.

Berdasarkan kenyataan Dr Muhammad Iqbal itu dan dengan lambakan pelbagai jenis makanan, ditambah dengan makanan ringan termasuk yang diimport, fakta tersebut amat menakutkan.

Jadi, Ramadan yang bakal disambut ini medan terbaik kepada semua bagi memastikan buah pinggang kita berehat dengan baik selepas setahun bekerja.

Bukan saja boleh mencegah kerosakan buah pinggang, dengan puasa juga kita boleh menghindari diabetes, darah tinggi dan obesiti yang menjadi kebimbangan masyarakat negara ini sejak dahulu lagi.

Pakar membuat ramalan berkenaan berdasarkan amalan kesihatan dan kita wajar mengambil pengajaran daripadanya.

Jika dua tahun kebelakangan ini kita berbuka puasa dengan juadah serba biasa, wajar kita teruskan dengan mengambil kira tahap kesihatan diri yang perlu diutamakan.

Islam juga mengajar kita untuk sentiasa menjaga kesihatan dengan makan secara tidak berlebihan, pengambilan makanan sunnah serta halal, semuanya untuk kebaikan.

Seeloknya, dengan kedatangan Ramadan beberapa hari sahaja lagi dapat mendidik kita agar bersederhana dalam segala hal termasuklah memastikan kesihatan yang baik untuk terus beribadat.

Ramadan dapat dijadikan sebagai permulaan untuk kita menjadi baik, melakukan perkara baik terutama dalam menjaga kesihatan diri.

Tiada siapa dapat mengubah tahap kesihatan kita melainkan kita sendiri merencana apa yang patut masuk dalam badan kita sendiri. Dalam erti kata lain, kita sendiri yang perlu melakukan perubahan.

Kurang makan, jaga kesihatan dan amalkan gaya hidup sihat. Kita boleh melakukannya!

*Nurhafiza Hasan ialah Penyunting Sinar Harian