Tampung gaya hidup dengan rasuah

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kecenderungan berbelanja melebihi kemampuan dan bercita-cita tinggi membuatkan seseorang individu itu terpengaruh untuk menerima rasuah bagi menampung gaya hidup mereka.

Ketua Pasukan Rasuah Busters Perlis, Nor Halmey Hamdah berkata, masyarakat hari ini sedang mengalami satu proses perlumbaan untuk mendapatkan perkara yang terbaik walaupun mempunyai pendapatan rendah.

Katanya, mereka tidak mahu ketinggalan dalam persaingan apatah lagi mendapat desakan daripada orang sekeliling.

“Perkara sebeginilah yang mendorong segelintir individu untuk mengambil rasuah walaupun jumlah yang kecil. Perkara haram sudah tentu jadi halal.

“Orang sekarang tidak boleh hidup dengan hanya cukup makan dan minum tetapi mempunyai keinginan yang lebih daripada itu. Jadi, untuk mendapatkan sesuatu perkara di luar kemampuan, mereka akan mengambil jalan singkat dengan rasuah,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Nor Halmey, pendapatan rakyat masih di takuk lama sedangkan negara semakin maju dengan pelbagai pengeluaran teknologi canggih.

“Ini juga menjadi faktor kenapa golongan bergaji kecil menerima rasuah. Mereka merasakan tiada cara lain untuk hidup lebih senang dengan menggunakan jalan singkat.

“Selain itu, ada juga segelintir mereka sudah terbiasa melakukan rasuah tanpa rasa bersalah. Sikap ini akan merosakan negara pada masa akan datang,” jelasnya.

Beliau sebelum itu mengulas mengenai laporan seorang bekas ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada sebuah pertubuhan kebajikan sosial sebanyak RM500 berhubung kelulusan bantuan kewangan bagi pembelian buku kelas agama dan moral, tiga tahun lalu.