Perkeso bayar RM1.4 bilion pampasan kemalangan industri pada 2021

Perkeso membayar pampasan berjumlah RM1.4 bilion pada 2021 yang melibatkan kemalangan industri.
Perkeso membayar pampasan berjumlah RM1.4 bilion pada 2021 yang melibatkan kemalangan industri.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membayar pampasan berjumlah RM1.4 bilion pada 2021 yang melibatkan kemalangan industri kepada pekerja tempatan dan juga asing.

Ketua bahagian pencegahan, perubatan dan pemulihannya, Dr Azlan Darus berkata, pada 2021, data interim Perkeso merekodkan sejumlah 61,447 kes kemalangan, yang mana 36,794 kes melibatkan kemalangan industri, dengan hampir 700 kematian dan lagi 24,683 kes adalah kemalangan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Industri pembinaan merupakan antara yang tertinggi mencatatkan kemalangan maut. Oleh itu, dengan berakhirnya sekatan pergerakan akibat pandemik dan kita kini sedang menuju ke fasa pemulihan ekonomi, sudah sampai masanya untuk kita memberikan lebih penumpuan kepada kesihatan dan keselamatan untuk mengelakkan kerugian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Persidangan Keselamatan dan Kesihatan Tahunan 2022 Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) ke-20 yang bertemakan 'Construction Safety - Beyond Compliance In The New Dawn'.

Azlan juga membaca ucapan pembukaan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed semasa pelancaran hari ini.

Menerusi ucapannya, Mohamed Azman berkata, setiap bencana pekerjaan merupakan kos kepada masyarakat dan negara apabila berlakunya insiden seperti kehilangan nyawa, hilang upaya fizikal dan mental, kerosakan harta benda, hasil produktiviti yang terjejas dan pelbagai lagi.

"Kecuaian dan kelemahan untuk memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di tempat kerja dipatuhi menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada kadar kes kemalangan ini,” katanya.

Sementara itu Azlan berkata, keselamatan sosial seharusnya bukan hanya sekadar pampasan semata-mata kerana apabila kemalangan berlaku, pampasan sahaja tidak mencukupi kerana mata pencarian keluarga akan turut terkesan.

Artikel Berkaitan:

"Pampasan adalah perkara selepas kemalangan. KIta perlu membicarakan mengenai perkara sebelum kemalangan, apakah langkah-langkah pencegahan, justeru, kita perlu melakukan sesuatu yang berbeza,” katanya.

Pada 2017, katanya, kerajaan telah memperkenalkan garis panduan bagi keselamatan dan kesihatan pekerjaan untuk industri pembinaan yang mana tanggungjawab bagi memastikan keselamatan dan kesihatan di tapak pembinaqan bukan hanya terletak di bahu kontraktor sahaja tetapi juga pereka bentuk dan pemaju.

"Parlimen telah meluluskan pindaan kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 pada tahun lepas dan di bawah pindaan itu, terdapat pemboleh bagi kerajaan untuk mengeluarkan garis panduan yang memasukkan tanggungjawab oleh pemaju serta pereka bentuk. Kami berharap ia akan dijadikan sebagai satu keperluan wajib tidak lama lagi.

"Jika kita menanda aras berbanding negara maju, mereka mempunyai peraturan yang menyertakan pemaju dan pereka bentuk,” katanya.

Sementara itu, bekas presiden MBAM, Foo Chek Lee mengulas bahawa 40 peratus daripada kemalangan yang berlaku adalah disebabkan kegagalan reka bentuk untuk memasukkan aspek keselamatan dan sama ada ia boleh dilakukan oleh kontraktor.

"Jadi apabila kemalangan berlaku, bukan hanya waris terdekat yang menderita tetapi syarikat juga akan turut menerima kesan. Tapak akan ditutup sekurang-kurangnya sebulan dan 200 hingga 300 pekerja perlu menghentikan kerja. Siapa yang akan membayar pampasan? Jadi jika anda boleh menjaga aspek keselamatan anda juga boleh mendapat keuntungan yang selamat,” katanya. - Bernama