Kelantan mahu wujudkan makmal geokimia

Bagi meningkatkan pengeluaran mineral dan hasil perlombongan

Ahmad
PHOTO: Media Sosial
Ahmad PHOTO: Media Sosial
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan kini dalam usaha mewujudkan makmal geokimia bagi meningkatkan hasil perlombongan dan melancarkan pengurusan sumber galian.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, sebelum ini, kerajaan tidak dapat mengesan kedudukan mineral berkenaan.

Beliau memberitahu, mineral yang dikeluarkan hasil daripada perlombongan di negeri ini ialah biji besi sebanyak tujuh peratus manakala 12 peratus untuk manganese, feldsfar, bijih timah, lain-lain.

“Makmal geokimia itu juga akan membantu menambahkan pengeluaran mineral dan meningkatkan hasil perlombongan negeri,” katanya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 Penggal Kelima, di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mohd Adanan Hassan (Pas-Kelaboran).

Menurutnya, peratus pengeluaran mineral ditetapkan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan kawalan dilakukan bagi keluar masuk lori yang membawa bahan mineral dari lombong.

“Semakan berkala dan audit dokumen pemindahan pengeluaran mineral akan dilakukan selain pembatalan lesen kepada syarikat yang gagal melombong setelah tiga kali peringatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kerajaan turut melaksanakan polisi jualan sebanyak 30 peratus daripada hasil emas mentah di seluruh negeri kepada Kelantan Gold Trade Sdn Bhd.

“Selain itu, kami melaksanakan kutipan royalti emas dalam bentuk jokong emas tulen iaitu dua peratus daripada 10 peratus kadar royalti untuk jual dengan harga yang tinggi.

“Kerajaan negeri tidak boleh berniaga tetapi kita boleh melaksanakannya melalui anak syarikat kerajaan negeri untuk menawarkan harga tinggi terutama ketika harga emas melambung akibat peperangan Rusia-Ukraine,” katanya.