Kadar baharu gaji minimum perlu kajian menyeluruh

Kerajaan menguatkuasakan gaji minimum RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini. - Gambar hiasan
Kerajaan menguatkuasakan gaji minimum RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masih samar selain menimbulkan banyak persoalan.

Rancangan kerajaan untuk menguatkuasakan gaji minimum RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini dilihat oleh kebanyakan pihak sebagai satu keputusan tepat seiring situasi semasa ekonomi, namun ada beberapa polemik yang harus dituntaskan terlebih dahulu sekiranya mahu dasar itu mencapai matlamatnya.

Dari segi majikan, mereka tertanya-tanya sama ada penguatkuasaan itu merentasi semua sektor sedangkan ada antara mereka yang terjejas teruk semasa penularan pandemik Covid-19 dan masih terkial-kial untuk meneruskan kelangsungan operasi.

Bagi pekerja pula, mereka ingin tahu sama ada dasar baharu tersebut akan turut melibatkan mereka yang pada masa ini menerima gaji minimum RM1,200.

Mengupas persoalan terbabit, beberapa penganalisis ekonomi berkata kerajaan sewajarnya menjalankan kajian menyeluruh pada kadar segera, merangkumi antaranya aspek keupayaan kewangan majikan dan juga impak ke atas pekerja, sebelum pelaksanaan dasar itu.

Dahulukan sektor tidak terjejas Covid-19

Dr Nur Hafizah Ismail daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika dihubungi Bernama berkata, walaupun pelaksanaan kadar gaji minimum itu adalah satu keperluan yang telahpun dilaksanakan di kebanyakan negara, kerajaan wajar menimbang semula penguatkuasaannya terhadap beberapa sektor.

Ini kerana katanya, sektor seperti pelancongan dan hospitaliti serta penerbangan terjejas teruk semasa pandemik Covid-19 memuncak dan kini kesemuanya masih dalam fasa pemulihan.

Artikel Berkaitan:

Sektor terbabit perlu diberikan ruang untuk bernafas memandangkan sempadan negara hanya akan dibuka semula pada 1 April ini, jelas pensyarah kanan di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan UUM itu.

Selain itu, beliau juga menyarankan kerajaan mengambil kira beberapa aspek seperti tahap kemahiran, pengalaman, prestasi serta taraf pendidikan pekerja dalam pelaksanaan dasar tersebut.

"Penilaian syarat berkaitan dengan kemahiran, pengalaman amat penting kerana ia secara tidak langsung turut sama mempengaruhi tawaran gaji kepada seseorang pekerja itu,” jelasnya.

Difahamkan Kementerian Sumber Manusia sedang memperincikan model serta kaedah pelaksanaan perintah gaji minimum 2022 termasuk menentukan jenis perusahaan, pekerjaan dan penggajian yang boleh melaksanakan perintah gaji minimum RM1,500 secara berperingkat.

Pemberhentian pekerja

Pada masa sama, Nur Hafizah turut melahirkan kebimbangan tentang kemungkinan peningkatan pengangguran akibat daripada kenaikan kadar gaji minimum tersebut.

"Kenaikan kadar gaji minimum sebenarnya akan memberi kesan kepada kos tenaga kerja (kos tenaga buruh), iaitu antara kos penting dalam operasi sesebuah syarikat atau perniagaan dan ini akan memberikan impak tidak langsung terhadap pekerjaan.

"Ini kerana mungkin ada syarikat yang akan memberhentikan pekerjanya untuk mengekalkan (margin) keuntungan. Justeru kerajaan harus bertindak tegas bagi memastikan tidak ada majikan mengambil kesempatan menggunakan alasan penetapan gaji minimum untuk memberhentikan pekerja,” katanya.

Berdasarkan Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara (Akta 732), majikan yang tidak membayar gaji pokok sebagaimana dinyatakan perintah gaji minimum boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja, jika sabit kesalahan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim dipetik berkata, Akta 732 memberi kuasa kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak untuk menjalankan penguatkuasaan dan penyiasatan berhubung pelaksanaan gaji minimum itu.

"Aktiviti penguatkuasaan ini bukan sahaja dijalankan kepada pihak industri tetapi turut merangkumi semua majikan swasta di Malaysia termasuk GLC,” katanya.

Lokasi, kos sara hidup

Sementara itu, penganalisis ekonomi daripada Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pelaksanaan kadar baharu gaji minimum tersebut wajar diutamakan kepada syarikat yang beroperasi di bandar-bandar besar yang sinonim dengan kos sara hidup tinggi.

Menurutnya, ini bagi mengimbangi kadar gaji dan kos sara hidup pekerja memandangkan garis kemiskinan nasional bagi sebuah isi rumah ialah pada RM2,208.

"Untuk satu keluarga, jika seorang sahaja yang bekerja dengan pendapatan RM1,500, mereka masih lagi berada di bawah garis kemiskinan, dan kita kena akui mereka yang bekerja di bandar serta menerima upah di bawah jumlah itu (RM1,500) adalah sangat tidak relevan,” jelasnya.

Sekalipun perbezaan sebanyak RM300 di antara kadar lama dan kadar baharu itu tidak begitu besar khususnya untuk golongan B40 di bandar, jumlah berkenaan masih mampu meningkatkan kuasa beli mereka, ujar beliau.

Pandemik Covid-19 memberi impak besar kepada pendapatan isi rumah dan dilaporkan kadar kemiskinan meningkat kepada 8.4 peratus pada 2020 berbanding 5.6 peratus pada tahun sebelumnya.

Justeru, kadar baharu gaji minimum itu adalah komitmen kerajaan untuk membantu mengimbangi kos sara hidup dan pendapatan golongan B40 khususnya di bandar, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia.

Jangan pukul rata

Ahmed Razman juga berkongsi pandangan dengan Nur Hafizah agar kerajaan tidak melaksanakan kadar baharu gaji minimum itu secara pukul rata.

Sebaliknya beliau mahu kerajaan mendahulukan penguatkuasaan dasar itu kepada sektor atau syarikat besar yang tidak terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Apabila diumumkan pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan, kita melihat ia merupakan satu langkah penambahbaikan daripada pihak kerajaan, namun pelaksanaannya tidak boleh pukul rata.

"Apabila ia dikuatkuasakan dahulu kepada syarikat besar dan GLC, ia seharusnya tertakluk kepada syarikat yang mempunyai keupayaan sumber kewangan dan tidak terjejas teruk operasinya kesan daripada pandemik,”saran beliau.

Meninjau pandangan usahawan, Pengurus MHP Enterprise Musleha Zainuddin memohon kerajaan tidak menguatkuasakan kadar baharu gaji minimum itu kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurutnya, ini kerana rata-rata usahawan PKS tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk membayar kadar gaji minimum yang ditetapkan kerajaan.

"Misalnya syarikat yang terlibat dalam produk berasaskan makanan seperti kami, memang sukar hendak tetapkan gaji minimum memandangkan ada masa keuntungan kami dapat lebih dan ada masa sekadar cukup makan sahaja.

"Semasa PKP, memang perniagaan merudum sedikit dan baru sekarang kami berganjak ke arah pemulihan operasi dan keuntungan kami juga bergantung pada musim. Malah saya sebagai pengurus ada masa terpaksa berkorban potong gaji (sendiri) supaya dapat bayar gaji pekerja,” katanya yang mengendalikan perniagaan Bahulu Masri di Sekinchan, Selangor.

Musleha yang menguruskan perniagaan milik keluarga sejak 1992 itu, berkata pada masa ini syarikatnya mempunyai 15 pekerja dengan purata gaji bulanan antara RM900 dan RM3,000.

Pelaksanaan kadar baharu gaji minimum itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 19 Mac lepas semasa menggulung perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2021.

Menurut Ismail Sabri, dasar itu yang berkuat kuasa pada 1 Mei tahun ini akan terlebih dahulu membabitkan syarikat besar dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Kali terakhir kadar gaji minimum dinaikkan ialah pada 1 Februari 2020 dengan kenaikan sebanyak RM100 iaitu daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan. - Bernama

.