Saman: Speaker DUN NS diarah bayar RM1,500 kepada ADUN Lenggeng

Laporan Sinar Harian pada 13 Februari 2020.
Laporan Sinar Harian pada 13 Februari 2020.
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Tinggi Seremban pada Isnin menolak permohonan saman sivil yang dikemukakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar terhadap pemilik laman sosial Facebook, PH Hot Coffee termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng berhubung kenyataan fitnah dikeluarkan tiga tahun lalu.

Hakim, Wan Fadhilah Nor Wan Idris menolak tuntutan saman sivil yang dibuat oleh Zulkefly pada 5 Februari 2020 dengan mengarahkan plaintif membayar kos RM1,500 kepada setiap defendan.

Empat defendan berkenaan ialah ADUN Lenggeng, Suhaimi Kassim; bekas Setiausaha Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan, Mohd Asri M Jamil, Adli Adnan dan Tandiko Dalusin.

Menurut peguam Ahmad Lokman Abdul Aziz dari Tetuan Aslizan Intan Ruwaida & Partners yang mewakili defendan kedua, Adli, sepatutnya pada 8 Mei 2023 untuk dimaklumkan status mediasi, tetapi peguam plaintif gagal hadir walaupun diberi tempoh sehingga 11 pagi.

"Pada 15 Mac 2023 yang lalu, hakim telah mengarahkan pihak plaintif untuk merujuk tuntutan saman sivil itu kepada Pusat Mediasi Mahkamah Seremban.

"Bagaimanapun plaintif tidak patuh arahan itu dan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah telah menghantar emel untuk pihak-pihak hadir ke mahkamah secara fizikal pada hari ini (Isnin) untuk memaklumkan status mediasi, namun peguam plaintif gagal untuk hadir ke mahkamah," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Suhaimi, Mohd Asri dan Tandiko diwakili peguam Ardelliza Izmaryanti Shafie dari Tetuan Hanif Hassan & Co.

Plaintif pula diwakili peguam, Kamal Hisham Jaafar dari Tetuan Kamal Hisham & Associates.

Sinar Harian pada tahun 2020 melaporkan Zulkefly yang ketika itu merupakan Naib Pengerusi 2 Amanah Negeri Sembilan berkata, tindakan saman itu dibuat kerana pihak berkenaan telah menerbitkan artikel dan tulisan yang berunsur fitnah, mengaibkan dan berniat jahat terhadapnya selaku Speaker DUN Negeri Sembilan.

"Saya dengan ini menyatakan segala artikel dalam laman dan akaun peribadi PH Hot Coffee mengenai saya adalah fitnah dan saya amat terkesan dengan artikel ini yang terang-terangan menjatuhkan air muka serta nama baik saya selaku Speaker DUN Negeri Sembilan.

"Tindakan saman sivil itu susulan laporan polis yang telah dibuat pada 2 Disember 2019 dan ia (saman sivil) dibuat sebagai pengajaran agar tiada mana-mana pihak membuat fitnah sesuka hati terhadap saya sebagai ketua legislatif dalam DUN Negeri Sembilan," katanya.