25,000 benih ikan lampam dilepaskan di Sungai Lipis

Abdullah (kanan) dan Mohd Soffi (dua dari kanan) melepaskan benih ikan ke perairan umum Sungai Lipis sempena Program Pelepasan Benih Ikan Ke Perairan Umum Seluruh Negara Peringkat Negeri Pahang di Kampung Melayu Benta, Lipis pada Khamis.
Abdullah (kanan) dan Mohd Soffi (dua dari kanan) melepaskan benih ikan ke perairan umum Sungai Lipis sempena Program Pelepasan Benih Ikan Ke Perairan Umum Seluruh Negara Peringkat Negeri Pahang di Kampung Melayu Benta, Lipis pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perikanan Negeri Pahang melepaskan 25,000 ekor benih ikan lampam sungai dan 300 ekor ikan kelah ke perairan umum di Sungai Lipis, Benta, Lipis sempena Program Pelepasan Benih Ikan Ke Perairan Umum Seluruh Negara, Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Abdullah Jaafar berkata, hasil program pelepasan benih ikan terbaharu itu, secara keseluruhannya kira-kira 13.5 juta benih ikan dan udang telah dilepaskan di perairan umum negeri ini sejak tahun 2010.

Menurutnya, sumbangan benih ikan untuk pelepasan umum dan pemberian percuma kepada para penternak akuakultur diterima melalui Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Bukit Tinggi, Bentong dan PPA Perlok, Jerantut.

"Kira-kira 2.75 juta benih ikan pelbagai spesies untuk pelepasan umum dan benih percuma kepada penternak akuakultur di negeri telah dikeluarkan kedua-dua PPA itu tahun lalu.

"Langkah pengurusan sumber perikanan sungai yang dijalankan itu sebagai usaha perlindungan dan pemuliharaan selain bagi menambahkan stok ikan perairan umum negeri ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, beliau hadir pada Program Pelepasan Benih Ikan Ke Perairan Umum Seluruh Negara Peringkat Negeri Pahang yang dirasmikan Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak di Sungai Lipis, Kampung Melayu Benta, Lipis Khamis lalu.

Program itu dilaksanakan secara serentak seluruh negara yang dilancarkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee di Tasik Putrajaya hari berkenaan.

Abdullah berkata, program yang dilaksanakan itu bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan perikanan sungai sebagai salah satu sumber makanan dan pendapatan nelayan darat.

Artikel Berkaitan:

"Di Pahang terdapat 380 orang nelayan darat yang berdaftar sepenuh masa dan menerima Elaun Sara Hidup Nelayan Darat RM250 sebulan," katanya.

Tambah beliau, perikanan sungai di perairan umum kini terdedah kepada ancaman aktiviti tidak mampan dan destruktif yang mengakibatkan pencemaran, penyakit dan kepupusan sumber perikanan.

"Justeru orang ramai diingatkan supaya lebih bertanggungjawab dalam menjaga sumber perikanan dengan tidak melepaskan spesies ikan asing ke perairan umum kerana ia merupakan satu ancaman kepada ekosistem.

"Ikan-ikan asing ini akan menjadi pemangsa dan merosakkan habitat hingga boleh menyebabkan kepupusan spesies ikan-ikan asli," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perikanan juga berharap masyarakat amnya dan nelayan darat khasnya dapat memanfaatkan kekayaan sumber perikanan sungai secara bertanggungjawab.

"Jangan menggunakan peralatan yang destruktif atau merosakkan sumber seperti tuba, bahan letupan dan elektrik untuk menangkap ikan kerana penggunaan peralatan tersebut suatu kesalahan di bawah Kaedah-kaedah Perikanan (Perairan Sungai) Pahang 1991.

"Jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh dikompaun atau didakwa di mahkamah dengan hukuman denda dan peralatan dirampas," katanya.

Sementara itu katanya, pada Program Pelepasan Benih Ikan Ke Perairan Umum Seluruh Negara Peringkat Negeri Pahang itu turut diadakan menyerahkan bantuan 30,000 ekor benih ikan tilapia kepada 15 penternak dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Benta.