1,000 benih karang ditanam di Pulau Bidong

Kira-kira 1,000 karang ditanam di Pulau Bidong sempena Ekspedisi Pemuliharaan Karang sempena sambutan Hari Laut Sedunia.
Kira-kira 1,000 karang ditanam di Pulau Bidong sempena Ekspedisi Pemuliharaan Karang sempena sambutan Hari Laut Sedunia.
A
A
A

KUALA NERUS - Sebanyak 1,000 benih karang ditanam secara besar-besaran di Pulu Bidong di sini sebagai usaha memulihkan populasi hidupan itu di perairan negara.

Pakar penyelidik batu karang Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Tan Chun Hong berkata, usaha itu dilakukan universiti berkenaan dengan kerjasama Aquaria KLCC sebagai pemangkin pemulihan terumbu karang berskala besar di negara ini.

Menurutnya, kira-kira 40 sukarelawan tempatan, pelajar UMT dan kakitangan Aquaria KLCC terlibat dalam Ekspedisi Pemuliharaan Karang yang dijalankan sempena sambutan Hari Laut Sedunia.

"Kerjasama telah dimulakan sejak 2018. Dalam ekspedisi kali ini, kita tanam semula benih karang ini di lokasi Pulau Bidong kerana ia antara lokasi paling teruk terjejas akibat impak ribut Pabuk yang melanda pada Januari 2019.

"Pasukan penyelidik UMT akan terus memantau pertumbuhan semua benih karang yang ditanam ini secara berterusan dan pada masa sama berharap lebih banyak pihak tampil membantu seperti mana yang dilakukan Aquaria KLCC," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Jelas beliau, Aquaria KLCC telah menyumbang RM200,000 kepada UMT yang merupakan satu-satunya universiti di negara ini yang terlibat dalam penyelidikan marin dan lautan.

"UMT akan meneruskan projek pelepasan benih batu karang secara berperingkat susulan kejayaan projek besar-besaran yang dilakukan pada tahun lalu.

"Penanaman semula dan pelepasan benih karang secara besar-besaran turut dilakukan kumpulan penyelidik di beberapa negara lain seperti di Great Barrier Reef di Australia dan Pulau Curacao di Laut Caribbean sebagai inisiatif memulihkan ekosistem yang terjejas," katanya.

Menurut Chun Hong, usaha yang dilakukan itu memberikan impak positif namun perlu dilakukan secara berterusan.

"Usaha memulihkan batu karang perlu dilakukan secara berpanjangan disebabkan ancaman semula jadi seperti pemanasan suhu global dan pencemaran yang sering berlaku.

"Kita harap usaha ini akan mendapat sokongan berterusan terutama daripada masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat agar keindahan terumbu karang ini dapat diwarisi untuk tatapan generasi akan datang," katanya.