Perak kekal pendirian tidak bekal air ke Pulau Pinang

Saarani Mohamad
Saarani Mohamad
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak mengekalkan keputusan tidak membekalkan air mentah ke Pulau Pinang meskipun kerajaan menyarankan isu pembekalan air diselesaikan bagi menghadapi masalah kekurangan bekalan air menjelang tahun 2050.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, permintaan kerajaan Pulau Pinang menerusi Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) itu tidak dapat dipenuhi kerana memenuhi keperluan domestik dan industri negeri untuk tempoh jangka panjang.

Menurutnya, perkara itu diputuskan susulan hasil kajian yang telah dijalankan Lembaga Air Perak (LAP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Bukan bermakna kerajaan Perak tidak bersimpati dengan Pulau Pinang tetapi dalam kajian yang dibuat oleh LAP dan JPS menunjukkan air Sungai Perak itu cukup untuk kegunaan dalam negeri sahaja.

"Empat empangan di Perak iaitu Temenggor, Bersia, Kenering dan Chenderoh digunakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menjana elektrik untuk keperluan seluruh negara.

"Sekiranya kita mengambil air dari empangan, kapasiti air yang berkurangan menyebabkan turbin tidak boleh berfungsi semaksimumnya menyebabkan pengeluaran tenaga jauh lebih rendah daripada keperluan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Peringatan Hari Polis ke-215 Peringkat Negeri di Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta di sini pada Jumaat.

Beliau mengulas mengenai saranan Kerajaan Persekutuan agar isu pembekalan air di Pulau Pinang, Kedah dan Perak dapat diselesaikan berikutan Kajian Sumber Air 2010-2050 (Perunding Zaaba 2008) merumuskan bahawa kawasan utara Semenanjung meliputi Kedah, Perlis dan Pulau Pinang akan dilanda kekurangan bekalan air yang ketara pada tahun tersebut.

Beliau berkata, cadangan Pulau Pinang untuk mengambil air di bawah Empangan Chenderoh dari Kuala Kangsar hingga Hilir Perak juga tidak boleh dilakukan kerana akan memberi kesan kepada penternak ikan sangkar di Parit, Kampung Gajah dan Teluk Intan.

Artikel Berkaitan:

"Malah, kajian Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) mendapati Perak akan menerima kehadiran pelbagai industri selepas sesak di Selangor dan Pulau Pinang.

"Lagi banyak kilang dibuka, lagi banyak air digunakan terutama industri berasaskan getah. Jadi kita perlu bersedia membekalkan air secukupnya kepada kilang-kilang yang akan datang ke Perak," katanya.

Kata Saarani, pihaknya perlu menyediakan terowong bagi memindahkan air dari Sungai Perak untuk kegunaan penduduk di Kerian dan Larut Matang Selama.

"Petani di Kerian mengalami kekurangan air akibat paras air rendah di tasik Bukit Merah menyebabkan mereka tidak dapat mengairi bendang.

"Pembinaan terowong akan dibincangkan bagi membantu petani. Walaupun negeri kita ada banyak sungai kita menjangkakan bekalan air hanya untuk kegunaan negeri ini," katanya.