Sindiket Love Scam jerat mangsa guna gambar lelaki tampan

Razali (kanan) menunjukkan gambar individu tampan yang digunakan sindiket itu bagi menjerat mangsa ketika sidang akhbar di (IPK) Melaka di Bukit Beruang, di sini, pada Jumaat
Razali (kanan) menunjukkan gambar individu tampan yang digunakan sindiket itu bagi menjerat mangsa ketika sidang akhbar di (IPK) Melaka di Bukit Beruang, di sini, pada Jumaat
A
A
A

MELAKA - Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan Love Scam dan Parcel Scam yang didalangi warga asing setelah enam individu termasuk dua wanita warganegara Nigeria ditahan dalam dua serbuan berasingan di sini, pada Selasa lalu.

Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, kesemua suspek ditahan berusia antara 23 hingga 44 tahun, yang dicekup dalam serbuan di Pangsapuri Taman Bukit Beruang Bestari dan sebuah rumah di Bukit Melaka.

Menurutnya, mereka dipercayai menjalankan aktiviti penipuan sejak enam bulan lalu dan ketika serbuan dilakukan mereka sedang 'menjerat' mangsa yang dikenali di media sosial.

Malah katanya, rampasan buku yang mengandung skrip perbualan, jelas menunjukkan mereka melakukan perbuatan itu dengan 'memancing' mangsa menggunakan gambar individu tampan.

"Turut dirampas 12 telefon bimbit, lima modem wifi, enam buah komputer riba, dokumen yang disyaki palsu dan dua 'pendrive'.

"Semakan lanjut mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah dan ujian air kencing yang dijalankan mendapati tiga daripada mereka termasuk dua wanita positif dadah jenis ganja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Razali berkata, pemeriksaan di kediaman itu turut menemui seketul ganja mampat seberat 600 gram selain satu peket ketamin (2.6 gram) dan satu peket ganja (34.73 gram) dengan nilai keseluruhan dadah yang dirampas RM5,000.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, siasatan lanjut mendapati dadah yang dirampas digunakan untuk kegunaan sendiri dan juga untuk diedarkan kepada pelajar institut pengajian tinggi swasta (IPTS) sekitar Ayer Keroh.

"Kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula Jumaat dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya, (ADB) 1952," katanya.