Tingkat profesionalisme, jauhi rasuah

Pasukan Simpanan Persekutuan ketika perbarisan sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 peringkat negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini. - Foto Bernama
Pasukan Simpanan Persekutuan ketika perbarisan sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 peringkat negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) diseru untuk meningkatkan lagi tahap profesionalisme dan integriti diri sempena Hari Polis Ke-215 yang disambut hari ini.

Pengerusi Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, pucuk pimpinan PDRM harus berusaha meningkatkan lagi tahap profesionalisme setiap anggota dan barisan kepimpinan selaku agensi penguat kuasa yang begitu dekat dengan masyarakat.

Dia yang juga bekas anggota Pasukan 69 Komando (VAT 69) dan Presiden Pertubuhan Kebajikan Skuad 1/86 Pulapol, Kuala Lumpur berkata, menerusi cogan kata 'Polis dan Mayarakat Berpisah Tiada', isu profesionalisme merupakan agenda penting untuk diberi keutamaan ketika menjalankan tugas.

Katanya, selain sentiasa bersikap profesional dan berjiwa rakyat, PDRM juga harus menitikberatkan isu rasuah agar perbuatan jijik itu tidak menjadi amalan setiap anggota.

"MCCF menyarankan kepada barisan pucuk pimpinan PDRM agar meningkat lagi tahap profesionalisme warga kerja, sekali gus menggembalikan kepercayaan rakyat.

"Selaku institusi tertua, PDRM juga harus habis-habisan untuk memerangi isu rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota terutama bersempena hari ulang tahun Hari Polis ke-215," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Halim, 'jantung dan hati' PDRM adalah di Bahagian Pengurusan dan Kenaikan Pangkat.

Artikel Berkaitan:

Datuk Seri Halim Ishak
Datuk Seri Halim Ishak

Untuk itu katanya, sudah tiba masa buat Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengamalkan sistem pemilihan kenaikan pangkat dan penempatan jawatan bagi setiap pegawai dan anggota menerusi formula merit, pragmatik serta integriti.

Menerusi formula tersebut tegasnya, ia dilihat mampu memulihkan keyakinan rakyat, malah menggembalikan maruah Sang Saka Biru yang dirobek netizen di media sosial disebabkan oleh 'kenakalan' segelintir pegawai dan anggota di dalam pasukan.

"Adalah juga tidak adil bagi sesetengah komuniti masyarakat yang menghukum sesuatu agensi di atas salah laku segelintir mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Ia pastinya tidak mengambarkan keseluruhan warga kerja PDRM yang masih jujur dan amanah dalam menjalankan tugas memelihara ketenteraman dan keamanan negara," katanya.

Dalam pada itu Halim berkata, MCCF yang merupakan rakan gabungan pasukan Rasuah Busters dan mengetuai Ujian Psikometrik Personaliti Rasuah Busters (RBTag) akan terus berusaha menangani isu rasuah di negara ini.

Menurutnya, ujian RBTag telah dilakukan meneruai kempen Malaysia Tanpa Rasuah semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini.

"MCCF berharap ujian RBTag yang penting ini dapat juga diguna pakai oleh pihak atau agensi kerajaan yang lain seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Bukan sahaja dapat mengukur tahap kecenderungan setiap pegawai dan anggota terhadap amalan rasuah atau salah guna kuasa, ujian RBTag ini juga boleh diimplementasikan pada semua agensi di bawah KDN khususnya bagi mencegah perbuatan rasuah dalam kalangan petugas," katanya.