X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 04 Julai 2022

Polis rakam keterangan suspek pukul penunggang basikal

A
A

IPOH - Polis merekodkan keterangan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pukul ke atas seorang penunggang basikal menggunakan batang besi di persimpangan lampu isyarat di Jalan Seri Manjung-Segari, Manjung seperti video tular menerusi laman sosial.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, temu bual ke atas lelaki berusia 34 tahun itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung petang Selasa mendapati punca kejadian adalah salah faham antara lelaki berkenaan dengan penunggang basikal warga asing itu.

"Suspek telah menggunakan kereta jenis Proton Wira yang dipinjam daripada rakannya manakala mangsa yang menunggang basikal telah berada di lorong kiri jalan di lampu isyarat simpang empat AEON Mall Seri Manjung.

"Apabila tiba di tempat kejadian, semasa suspek mahu membelok ke simpang kiri laluan lorong pusat beli-belah itu, mangsa yang berada di lorong kiri laluan utama di persimpangan lampu isyarat tersebut beranggapan bahawa suspek ingin menghimpit dan melanggarnya.

"Oleh kerana salah faham, suspek telah bertindak memukul mangsa kerana mangsa telah memaki hamun serta mencabar suspek," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, sehingga kini, mangsa masih belum dikenal pasti dan tiada sebarang laporan polis yang dibuat olehnya namun pihak polis menerima laporan berkaitan insiden itu daripada seorang wanita pada 10 pagi Selasa.

Menurut Nor Omar, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan permohonan perintah untuk siasat (OTI) akan dibuat kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi meneruskan siasatan.

"Pihak polis menyeru kepada mangsa yang terlibat supaya tampil membuat laporan polis dan sekiranya orang awam mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Insp Irsyadiman Allmui di talian 01117836233 bagi membantu siasatan," katanya.

Pada Isnin, tular rakaman video menerusi laman media sosial memaparkan seorang lelaki menaiki kereta Proton Wira berwarna biru memberhentikan kenderaan lalu memukul seorang lelaki yang sedang menunggang basikal di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar raya AEON Mall Seri Manjung. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!