Jangan beri pengecualian laksana gaji minimum RM1,500: MTUC

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan agar tidak memberikan pengecualian kepada mana-mana syarikat bagi melaksanakan kadar baharu gaji minimum RM1,500.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, ia perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pekerja.

"Kekeliruan itu pernah berlaku ketika pelaksanaan perintah gaji minimum yang dilakukan sebelum ini.

"Semasa perintah gaji minimum yang dibuat pada tahun 2013, pekerja-pekerja hotel terpaksa membawa isu ini sehingga ke Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan gaji minimum kerana pengecualian yang diberikan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu mengumumkan bahawa kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan di seluruh negara mulai 1 Mei ini.

Kamarul Baharin berkata, kerajaan perlu membantu syarikat dengan memberi bantuan kewangan bagi membolehkan gaji minimum RM1,500 dilaksanakan tanpa ada diskriminasi dalam pemberian bantuan tersebut.

"Kerajaan juga boleh memberi bantuan seperti pengurangan cukai, subsidi atau rebat kepada syarikat untuk membolehkan gaji minimum baharu dilaksanakan," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mahu kerajaan mewartakan perintah gaji minimum baharu itu untuk memastikan semua syarikat patuh dengan arahan apabila ia dilaksanakan nanti.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kelewatan kerajaan melaksanakan gaji minimum baharu telah mengakibatkan pekerja berada dalam kerugian.

"Setiap kali semakan gaji minimum dibuat, kelewatan pelaksanaan pasti berlaku. Akta 732 memperuntukkan semakan gaji minimum sekali setiap dua tahun.

"MTUC juga mendesak kerajaan untuk mengawal harga barangan keperluan kerana kenaikan gaji minimum tidak akan memberi kesan kepada pekerja jika kos barangan dinaikkan.

"Tindakan kerajaan perlu tegas dalam mengawal harga barangan," katanya.