Balu ditipu Love Scam rugi RM3.9 juta

Mohd Shuhaily (tengah) menunjukkan gambar asli dan yang telah disunting suspek sebelum menghantar kepada mangsa.
Mohd Shuhaily (tengah) menunjukkan gambar asli dan yang telah disunting suspek sebelum menghantar kepada mangsa.
A
A
A

GEORGETOWN - Hanya kerana kata-kata manis, seorang wanita berusia 63 tahun mengalami kerugian sebanyak RM3.9 juta selepas ditipu sindiket Love Scam yang menyamar sebagai warga Korea yang bekerja di pelantar minyak.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, mangsa yang merupakan seorang balu itu telah membuat 184 transaksi wang ke dalam 19 akaun bank tempatan berbeza sejak Disember tahun lalu sehingga bulan ini.

Menurutnya, mangsa menyedari ditipu selepas melayari internet dan mendapati gambar suspek yang dihantar kepadanya disunting dengan gambar orang lain.

"Mangsa mula mengenali suspek di aplikasi Instagram dan kemudiannya telah menukar nombor telefon lalu saling berhubung melalui WhatsApp. Hubungan itu berlarutan dan suspek telah menjanjikan untuk menjaga mangsa sehingga akhir hayatnya.

"Setelah yakin mangsa mempercayainya, suspek yang kononnya bekerja di pelantar minyak telah meminta sejumlah wang kepada mangsa dengan alasan untuk menjalankan perniagaan melibatkan projek pelantar minyak.

"Suspek bagaimanapun tidak berjanji untuk mengahwini mangsa, hanya sebagai penjaganya sahaja," katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Mohd Shuhaily berkata, suspek meminta wang secara berperingkat bagi mengelakkan pihak bank mencurigai kegiatannya.

"Mangsa telah membuat 184 transaksi wang dengan jumlah paling kecil adalah RM9,000 sehingga RM50,000. Mangsa pada mulanya tidak menyedari ditipu kerana suspek sering menghantar gambar wajahnya selain video suspek sedang memandu kereta.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun setelah mendapati gambar yang dihantar suspek telah disunting daripada gambar orang lain, mangsa mula menyedari dia ditipu lalu membuat laporan polis pada 17 Mac lalu di Ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut," katanya.

Tambahnya, mangsa yang tidak bekerja itu menggunakan wang simpanan mendiang suaminya yang merupakan ahli perniagaan untuk diberikan kepada suspek.

"Kita masih mengesan suspek untuk siasatan selanjutnya. Kemungkinan suspek merupakan warga Nigeria kerana selalunya, Love Scam ini didalangi oleh warga asing berkenaan.

"Saya menasihatkan kepada masyarakat agar tidak mudah mempercayai dengan individu yang dikenali melalui media sosial. Jangan sesekali memindahkan wang kepada mereka yang baru dikenali terutamanya melalui media sosial.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.