Rugi hampir RM100,000 ditipu sindiket kerja sambilan

Seorang penyelia syarikat swasta mengalami kerugian berjumlah RM92,220 akibat terpedaya dengan tawaran pekerjaan sambilan yang ditawarkan oleh satu sindiket penipuan baru-baru ini. - Gambar hiasan
Seorang penyelia syarikat swasta mengalami kerugian berjumlah RM92,220 akibat terpedaya dengan tawaran pekerjaan sambilan yang ditawarkan oleh satu sindiket penipuan baru-baru ini. - Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang penyelia syarikat swasta mengalami kerugian berjumlah RM92,220 akibat terpedaya dengan tawaran pekerjaan sambilan yang ditawarkan oleh satu sindiket penipuan baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, pihaknya menerima aduan berhubung perkara berkenaan daripada mangsa sendiri pada Isnin.

“Mangsa yang berusia 41 tahun itu mengakui berminat dengan tawaran berkenaan (kerja sambilan) yang memberikan pulangan lumayan.

“Mangsa juga memberitahu, pada 13 April lalu, dia ada menerima pesanan ringkas daripada sebuah syarikat yang menawarkan kerja sambilan bahawa dia perlu menyiapkan tugasan, dan dijanjikan pulangan dan komisen dengan segera.

"Mangsa kemudiannya dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan Telegram dan diberikan penerangan lanjut mengenai tugasan tersebut. Mangsa kemudiannya mengambil pakej menyiapkan empat tugasan dengan bayaran RM92,220 dan sejak itu dalam tempoh 16 hingga 17 April, mangsa telah membuat 10 transaksi kepada enam akaun berbeza dengan julah RM92,220,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Isnin.

Mangsa kemudiannya menyedari dia telah ditipu apabila tidak menerima pulangan seperti yang dijanjikan walaupun kesemua tugasan yang diambil telah diselesaikan.

Malah dalam masa sama, mangsa turut diminta membuat pembayaran lain sebanyak RM46,580 bagi proses pemulangan modal serta komisen.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Pihak polis juga akan menyiasat daripada aspek-aspek lain seperti penglibatan keldai akaun dan tindakan akan diambil kepada pemilik akaun yang terlibat.