501 APS berdaftar sedia jadi pengantara permohonan pekerja asing

Sistem kuota khas pengambilan pekerja asing perlu diteruskan bagi membolehkan sektor swasta mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia. - Gambar hiasan
Sistem kuota khas pengambilan pekerja asing perlu diteruskan bagi membolehkan sektor swasta mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Sejumlah 501 agensi pekerjaan swasta (APS) kategori lesen C yang berdaftar di bawah Kementerian Sumber Manusia bersedia menjadi pengantara kepada mana-mana majikan dalam permohonan dan proses pengambilan pekerja asing ke Malaysia.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma), Dr Sukumaran Nair berkata, pihaknya mengalu-alukan kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berhubung cadangan kepada majikan untuk menggunakan perkhidmatan APS berdaftar ini, sekali gus memberi jaminan akan mematuhi dasar dan prosedur ditetapkan kerajaan.

Dalam hal itu, beliau berkata, pihaknya turut berharap Kementerian Dalam Negeri khususnya Jabatan Imigresen dapat memberikan pengiktirafan serupa kepada APS terlibat sebagai identiti sah.

"Papsma mencadangkan supaya satu kaunter khas untuk APS ini diwujudkan terutamanya di Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Imigresen di setiap negeri bagi memudahkan pengambilan pekerja asing bagi pihak majikan.

"Lebih separuh daripada 300,000 permohonan daripada majikan meminta kami menjadi perantara mereka dalam melaksanakan proses pengambilan pekerja asing.

"Hal ini memandangkan penggunaan sistem baharu FWCMS adalah merumitkan dan menyukarkan majikan biasa untuk mendapatkan kelulusan pekerja asing," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sukumaran berkata, sebagai agensi profesional dan berpengalaman, pihaknya akan memastikan proses permohonan dapat diuruskan dalam tempoh singkat.

Ujarnya, ia juga penting agar mampu membantu sektor perniagaan meneruskan operasi selepas banyak syarikat terpaksa gulung tikar kerana kekurangan pekerja akibat pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Katanya, APS juga memainkan peranan penting dalam mencari dan mendapatkan pekerja bersesuaian dengan kemahiran yang betul untuk memenuhi kekosongan pekerjaan selepas ramai pekerja asing meninggalkan negara selepas tamat kontrak kerja mereka.

"APS juga berperanan mengenal pasti ejen pengambilan pekerja asing di negara sumber untuk mencari dan merekrut pekerja mahir dan berpengalaman yang betul untuk industri dan sektor sesuai bagi majikan di Malaysia.

"Papsma dan ahli-ahlinya telah mendepositkan jaminan bon sebanyak RM250,000 bagi setiap lesen pengambilan di bawah kategori C pasti akan menjalankan perniagaan secara beretika dan sah agar wang deposit mereka tidak dirampas atas sebarang kesalahan di bawah Kementerian Sumber Manusia," katanya.