313,014 permohonan pekerja asing diproses berperingkat

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 313,014 permohonan oleh majikan untuk penggajian pekerja asing dalam beberapa sektor pekerjaan telah diterima dan diproses secara berperingkat.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, daripada 313,014 permohonan yang diterima sejak dibuka pada 15 Februari sehingga Rabu (16 Mac), ia melibatkan sektor perkilangan (193,346), perkhidmatan (48,119), perladangan (36,950), pembinaan (27,331), pertanian (7,248) serta perlombongan dan pengkuarian (20).

Beliau dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, ketika kelulusan bagi permohonan tersebut telah mula diberikan, terdapat juga majikan yang menghadiri temu duga gagal, disebabkan dokumen yang tidak lengkap seperti tiada penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja.

Sambil mengingatkan majikan agar mengemukakan permohonan lengkap bagi mengelakkan kegagalan semasa proses temu duga, Saravanan berkata majikan juga boleh menggunakan khidmat Agensi Pekerjaan Swasta (APS) yang berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981.

Sehingga kini katanya, terdapat 501 APS berlesen bagi kategori C yang boleh memberikan khidmat kepada majikan dalam permohonan pekerja asing.

"Mana-mana APS yang didapati menyalahgunakan atau terlibat dengan salah laku dalam permohonan pekerja asing ini boleh diadu ke Jabatan Tenaga Kerja di talian 03-8886 5192," katanya.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Disember lepas bersetuju untuk pengambilan pekerja warga asing dalam sektor yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing. - Bernama

Artikel Berkaitan: