Lelaki ditahan proses ketum di belakang premis

Bungkusan daun dan air ketum yang dirampas hasil serbuan ke atas sebuah premis di Chegar Medang di sini pada Khamis.
Bungkusan daun dan air ketum yang dirampas hasil serbuan ke atas sebuah premis di Chegar Medang di sini pada Khamis.
A
A
A

BENTONG - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti memproses dan mengedar air ketum hasil serbuan ke atas sebuah kedai di Chegar Medang di sini Khamis lalu.

Susulan penahanan suspek warga tempatan berusia 24 tahun kira-kira jam 2.45 petang itu, polis menemui dan merampas 46.5 kilogram daun ketum serta 109 bungkus air ketum dengan anggaran berat 136.25 liter.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, anggaran nilai rampasan daun dan air ketum itu lebih RM3,400.

Menurutnya, turut dirampas peralatan yang digunakan dalam aktiviti itu termasuk tong ais dan alat penimbang.

"Kejayaan tangkapan itu susulan tindakan sepasukan anggota polis yang bertindak menyerbu kedai berkenaan atas maklumat awam.

"Dalam serbuan itu, polis berjaya menahan suspek dan hasil pemeriksaan di bahagian belakang premis berkenaan menemui dua tong ais yang mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan ke atas tong-tong itu mendapati terdapat bungkusan air ketum yang dipercayai telah siap untuk diedarkan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Zaiham berkata, dalam pemeriksaan itu, turut ditemui enam bungkusan berisi daun ketum dan suspek mengaku bekalan daun ketum terbabit diperoleh daripada seorang lelaki dari Mentakab, Temerloh pada harga RM30 untuk 10 kilogram.

Artikel Berkaitan:

Bungkusan air ketum yang dirampas hasil serbuan ke atas sebuah premis di Chegar Medang di sini pada Khamis.
Bungkusan air ketum yang dirampas hasil serbuan ke atas sebuah premis di Chegar Medang di sini pada Khamis.

"Suspek turut memaklumkan dia mendapat bekalan dari lelaki itu seminggu sekali untuk diproses dan menyewa kedai berkenaan pada Disember tahun lalu dengan menjadikan bahagian belakang premis sebagai tempat memasak dan membungkus air ketum.

"Suspek dipercayai mula terlibat memproses air ketum dalam jumlah lebih besar bermula tahun ini untuk diedarkan kepada kenalan terdekat pada harga RM10 sebungkus," jelasnya.

Beliau berkata, suspek ditahan reman selama empat hari hingga Isnin ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

"Jika sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara sehingga empat tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

"Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia bebas pengaruh dadah," katanya.

Zaiham berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan lelaki yang didakwa menjadi pembekal daun ketum dalam kes itu.