Isu hasil 40 peratus Sabah dimuktamad dalam Majlis Khas MA63

Maximus Ongkili. - Foto Bernama
Maximus Ongkili. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu pemberian khas 40 peratus hasil negeri Sabah dikutip kerajaan Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, mesyuarat itu dijangka diadakan selepas selesai persidangan Dewan Rakyat penggal kali ini yang berakhir minggu depan bagi membincangkan keputusan Jawatankuasa Perundingan Bersama (JCC).

Ini susulan kenyataan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang juga Pengerusi JCC menerusi jawapan lisannya pada 3 Mac lepas bahawa pemberian khas itu tidak lagi terpakai.

"Keputusan JCC ini masih perlu dibentangkan di majlis khas tersebut dan setelah itu akan diputuskan dari segi jumlah yang akan diberi kepada Sabah. Saya telah bincang dengan Menteri Kewangan dan beliau mengatakan dan telah tekankan juga bahawa keputusan itu masih belum dibincangkan.

"Memang negeri Sabah ada pandangan tersendiri dalam perkara ini. Jadi kita tunggu mesyuarat majlis khas yang dijangka diadakan bila selesai persidangan Parlimen minggu depan,” kata Ongkili ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Khamis.

Ongkili berkata demikian setelah menerima celahan daripada beberapa Ahli Parlimen Sabah yang meminta menteri itu menyatakan pendirian kerajaan untuk menyelesaikan isu terbabit memandangkan perkara itu masih dalam peringkat rundingan dan belum dimuktamadkan, justeru, bercanggah dengan kenyataan Tengku Zafrul.

Antara Ahli Parlimen yang bangkit mencelah ialah Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar), Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) dan Ahmad Hassan (Warisan-Papar).

Dalam pada itu, Ongkili berkata, cadangan untuk menambah bilangan kerusi Ahli Parlimen bagi Sabah dan Sarawak kepada satu pertiga telah dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Rakan Sekutu pada 8 Februari lepas.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mesyuarat berkenaan memutuskan supaya perkara itu dirujuk kepada Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun untuk penelitian selanjutnya.

"Saya cadangkan agar Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak membincangkan tuntutan ini secara terbuka dan teratur dan mengemukakan keputusan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan seterusnya.

"Ada juga pihak di Sabah dan Sarawak berpandangan bahawa tuntutan ini dibentangkan terlebih dahulu di Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, usul Menjunjung Kasih Titah Diraja diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas 27 kementerian selesai menggulung perbahasan tersebut yang berlangsung selama empat hari bermula Isnin dimulakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan berakhir dengan Jabatan Perdana Menteri.

Persidangan Dewan bersambung Isnin. - Bernama