Kes BID di Kedah membimbangkan

Jumlah kes BID di Kedah membimbangkan dengan 65 kes direkodkan bagi tempoh 1 Januari hingga 12 Mac lepas. - Gambar hiasan
Jumlah kes BID di Kedah membimbangkan dengan 65 kes direkodkan bagi tempoh 1 Januari hingga 12 Mac lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Jumlah kes kematian di luar fasiliti hospital (BID) di Kedah membimbangkan dengan 65 kes direkodkan bagi tempoh 1 Januari hingga 12 Mac lepas.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, kira-kira 86.2 peratus daripada jumlah itu didapati melibatkan individu yang belum menerima suntikan dos penggalak.

Menurutnya, Kedah mencatatkan kes BID yang tinggi disebabkan 90 peratus daripada individu yang meninggal dunia tidak tahu mereka dijangkiti Covid-19.

"Jadi, saya gesa individu yang mengalami simptom seperti demam, selesema dan sakit tekak sila lakukan ujian saringan kit ujian pantas (RTK) Antigen Covid-19.

"Individu yang meninggal dunia dalam kes BID memang sudah lengkap dua dos suntikan vaksin, namun masih belum mengambil suntikan dos penggalak.," katanya di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hayati berkata, jumlah individu mengambil dos penggalak dikhuatiri masih rendah terutamanya orang Melayu.

"Saya tidak pasti kenapa, mungkin antaranya disebabkan berita tidak benar yang tular di media sosial," katanya.

Beliau mengingatkan supaya rakyat tidak ambil mudah mengenai keadaan ini ataupun enggan melakukan pemeriksaan apabila mempunyai simptom hingga dikhuatiri menyebabkan kematian.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, perbincangan akan diadakan bersama Pejabat Mufti Kedah dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) untuk mendapatkan pandangan tentang kaedah memberi kesedaran mengenai kepentingan mengambil suntikan dos penggalak kepada masyarakat.

"Antaranya, masjid akan dijadikan sebagai platform untuk menyampaikan maklumat dan memberi kesedaran mengenai kepentingan mengambil suntikan dos penggalak," katanya.