Kerajaan perlukan RM17 bilion lunaskan hutang 1MDB

Tengku Zafrul - Foto: Bernama
Tengku Zafrul - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan masih kekurangan dana sebanyak RM17 bilion bagi melunaskan baki prinsipal dan faedah hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu adalah bagi pembayaran baki prinsipal serta faedah hutang 1MDB yang berjumlah RM38.8 bilion untuk tempoh 2023 hingga 2039.

“Kerajaan telah membuat bayaran faedah dan pinjaman 1MDB sebanyak RM13.31 bilion melalui Dana Akaun Amanah, Kementerian Kewangan.

"Pada masa ini, dana akaun amanah masih berbaki RM15.76 bilion, maka tidak cukup untuk melunaskan kesemua prinsipal hutang 1MDB,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Isnin.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, kerajaan bakal menerima dana penyelesaian sebanyak RM515 juta daripada AmBank serta baki jaminan pemulihan aset oleh Goldman Sachs sebanyak AS$954 juta.

”Dana awam pernah dan masih perlu digunakan untuk menanggung hutang 1MDB, sama ada dari segi bantuan langsung atau melalui dana pemulihan aset 1MDB.

"Berikutan masalah kewangan yang dihadapi 1MDB, kerajaan sejak April 2017 hingga November 2021 telah menyalurkan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman atau pendahuluan berjumlah lebih RM10 bilion melalui kementerian dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) bagi tujuan bayaran komitmen dan faedah hutang 1MDB,” katanya.

Dalam pada itu Tengku Zafrul turut memberi jaminan kerajaan akan membayar hutang 1MDB mengikut waktu yang telah ditetapkan bagi mengelak berlaku sebarang keingkaran.

Artikel Berkaitan:

Jika tidak mengikut had yang ditetapkan katanya, ia akan memberi implikasi kepada ekonomi negara kerana hutang kerajaan dijamin menerusi jaminan dan surat sokongan.

”Kerajaan akan terus berusaha untuk mendapatkan semula dana berkaitan 1MDB yang telah diseleweng, sama ada melalui tindakan undang-undang mahupun rundingan penyelesaian,” ujarnya.